NB: This speech was delivered at the Malam Kemuncak Festival P Ramlee Pulau Pinang on 13.01.2013.

Saudagar-saudagar, hartawan-hartawan, bangsawan-bangsawan, dermawan-dermawan, yang makan di pinggan, minum di cawan.

Selamat datang ke acara kemuncak Festival P Ramlee Pulau Pinang yang telah berlangsung selama sebulan. Alhamdulillah, kesemua program-program yang telah diadakan di setiap pelosok negeri dan membabitkan setiap lapisan masyarakat telah mendapat sambutan yang sangat meriah.

Dari Kepala Batas ke Balik Pulau, dari Seberang Jaya ke Komtar, daripada para cendekiawan dan budayawan kepada golongan mahasiswa dan rakyat terbanyak, Festival P Ramlee telah berjaya menyemarakkan semangat kebudayaan di kalangan semua.

Pulau Pinang kota pencerahan

Kami di Penang Institute percaya bahawa seni, budaya dan kesusasteraan tidak harus dianggap sebagai pelengkap acara perasmian semata-mata, tetapi sebagai suatu paradigma yang harus diperkembangkan untuk membina masyarakat yang sejahtera dan madani.

Oleh itu, sejak penghujung tahun lepas, kami telah mengambil langkah mula dengan memperkenalkan siri Forum Nusantara yang bertujuan untuk mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekia, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi keilmuan yang berkait sama ada secara langsung atau tidak dengan kebudayaan Pulau Pinang dan rantau Nusantara secara am.

Niat kami bukan sahaja untuk mengingatkan kembali dan menyedarkan masyarakat bahawa Pulau Pinang pada suatu ketika dahulu merupakan kota pencerahan penting di rantau ini, tetapi kami juga bertekad untuk mengembalikan kemasyhuran itu.

Jika Venice boleh berbangga dengan Marco Polo, Forence megah dengan Leonardo da Vinci dan Bukhara mahsyur dengan Ibnu Sina, apa kurangnya Pulau Pinang? Negeri kita juga terkenal dengan nama-nama seperti Syed Sheikh al-Hadi, Datuk Ahmad Nawab, Nordin Ahmad, Dato’ Nordin Hassan serta Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh. Mereka adalah tokoh-tokoh yang sangat akrab dengan perkembangan kebudayaan bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seantero rantau Nusantara.

Dan sudah tentu, tokoh kebudayaan Pulau Pinang yang paling agung sekali adalah Seniman Negara P Ramlee. Justeru, kami telah memilih untuk meraikan jasa dan sumbangan beliau melalui Festival P Ramlee Pulau Pinang yang berkemuncak pada malam ini.

Merungkai simpul perkauman

Di Malaysia, citra kebudayaan seringkali diterjemahkan mengikut pemahaman yang sempit atau statik, yakni melalui ciri-ciri seperti pakaian, makanan atau tarian yang dikotakkan dalam kerangka kaum yang kaku – Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Pemahaman kebudayaan yang jumud ini akan secara tidak langsung membentuk cara pandang dan cara fikir masyarakat kita dalam semua aspek, baik sosial, ekonomi mahupun politik. Justeru, adalah tidak menghairankan kenapa masyarakat kita sukar menggambarkan kewujudan dan perkembangan gerakan massa, termasuk gerakan politik, yang tidak berasaskan kaum. Yang merumitkan keadaan lagi, jika ada sesiapa yang mencuba untuk merungkai simpul perkauman ini, maka ia akan terus dikecam sebagai penghasut yang mahu memecah-belahkan kaum tersebut.

Sebenarnya, budaya tidak wajar dikurung kerana fitrahnya melampaui batas sosial yang ekslusif (social exclusivity). Sepertimana yang dijelaskan ahli antropologi terkemuka Datuk Shamsul AB, budaya adalah sesuatu tersepih dan tidak tunggal. Ia juga organik dan senantiasa berkembang dan merubah.

Inilah kelebihan P Ramlee. Dalam tangannya, budaya Melayu menjadi begitu anjal. Contohnya dalam filem Tiga Abdul, latar-belakangnya seolah-olah negara Arab, tetapi wataknya berpakaian sut Eropah lengkap bertali leher, namun bertarbus seperti orang Turki. Dan kita masih percaya bahawa filem ini adalah filem Melayu!

Begitulah caranya P Ramlee menganyam dan menggembleng, bukan sahaja pengaruh luar dengan budaya tempatan, malah naratif fantasi dengan realiti sosial, untuk menghasilkan kebudayaan kosmopolitan yang relevan kepada semua.

Saya percaya pandangan hidup P Ramlee yang terjelma dalam karya-karya beliau sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh pengalaman beliau semasa membesar di Pulau Pinang yang pada masa itu merupakan bandar pelabuhan bebas yang kosmopolitan dan kaya dengan warisan adat dan budaya yang pelbagai.

Pengiktirafan buat seorang lagenda

Umum bersetuju, P Ramlee adalah seniman yang tiada tolok bandingannya. Walaupun diiktiraf dengan pelbagai anugerah dan gelaran seperti “Tan Sri” dan “Seniman Negara”, kebanyakannya telah diberi setelah beliau meninggal.

Namun begitu, beliau telah dianugerahkan pingat AMN (Ahli Mangku Negara) pada tahun 1962. Saya pernah diberitahu oleh arwah ayahanda saya bahawa beliau sendiri telah mencalonkan P Ramlee untuk pingat tersebut. Pada ketika itu, penganugerahan pingat kebesaran kepada seorang penghibur adalah sesuatu yang menongkah arus dan tidak pernah berlaku. Malah, kumpulan The Beatles hanya menerima pingat MBE (Member of the Most Excellent Order of the British Empire) daripada Baginda Queen pada tahun 1965, tiga tahun selepas P Ramlee.

Pun begitu, saya percaya bahawa sumbangan P Ramlee perlu dihargai dengan lebih oleh kerajaan. Jika beliau adalah seniman yang tiada setarafnya, maka beliau harus diberi pengiktirafan yang lebih tinggi berbanding yang lain. Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Pusat agar lagenda seni negara, Allahyarham P Ramlee, dinaikkan pangkat daripada “Tan Sri” kepada “Tun”. Jika kerajaan ini tidak sanggup, saya akan mengesyorkan kepada kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Dengan itu, saya berharap semoga semangat kebudayaan kosmopolitan P Ramlee akan tersemai di kalangan kita semua.

Sekian, terima kasih.

About these ads