NB: This speech was delivered at the 2nd Series of Forum Nusantara on 30 December 2011. The following reproduction is abridged.

Saya sungguh tertarik dengan tajuk wacana kita pada malam ini. Topik yang bakal dibincangkan memang cukup berat, idealistik dan besar gagasannya.

Isu Bahasa Melayu, suatu bahasa yang pernah menguasai hampir satu perempat dunia sebagai bahasa perantaraan, bahasa perdagangan dan bahasa perpaduan di dalam dan sekitar gugusan kepulauan yang kita namakan Nusantara ini.

Jadi, adalah amat sesuai dan bermakna untuk kita pada malam ini untuk membahaskan topik “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kosmopolitan: apa peranan Pulau Pinang?”

Dinamisme membawa kepada kosmopolitanisme

Pada hemat saya, bahasa itu adalah sesuatu yang mencerminkan masyarakat yang menggunakannya. Justeru, masyarakat yang bercita-cita untuk mencapai taraf antarabangsa hendaklah mempunyai bahasa yang berkembang selaras dengannya.

Kita boleh lihat, di mana-mana negara yang maju dan pesat membangun, perkembangan kebudayaannya tidak akan ketinggalan. Ini tidak terhad kepada negara-negara barat yang telah memperluaskan bahasa dan budayanya ke merata dunia, tetapi juga negara-negara Asia seperti Korea Selatan dan Jepun yang bukan sahaja handal mengeksport teknologi elektrik dan elektroniknya, tetapi juga budaya mereka dalam bentuk drama TV, buku komik “Manga” dan sebagainya.

Begitulah juga yang sedang berlaku di negara jiran kita yang menggunakan bahasa yang seiras dan yang boleh dibahasakan sebagai “sepupu” bahasa kita, iaitu Bahasa Indonesia. Kini, bukan sahaja ekonomi Indonesia yang sedang berkembang pesat, tetapi juga bahasanya yang kian mendapat sambutan yang popular bukan sahaja dalam persada domestik tetapi juga dalam budaya pop masyarakat kita. Hasil karya budaya dan bahasa mereka yang dirangkumi dalam bentuk lagu, filem dan sebagainya sedikit sebanyak mencerminkan kebangkitan kenegaraan yang sedang berlaku dalam masyarakat mereka.

Secara kesimpulan, kita boleh melihat satu perkembangan bahasa yang cukup organik dan dinamik di Indonesia, di mana penggunaannya meliputi skop yang amat luas dari bidang ilmuan kepada budaya pop. Dan inilah yang dimaksudkan dengan istilah “kosmopolitan”. Apabila sesuatu bahasa itu berjaya menjadi jasad pengantara bagi penyebaran ilmu dan budaya, maka ia layak dipanggil Bahasa Kosmopolitan.

Bahaya bahasa dipolitikkan

Namun begitu, pembangunan fizikal yang berlaku di Malaysia tidak pula diiringi oleh perkembangan yang sejajar dalam bahasa dan budaya kita. Hakikat ini sungguh malang dan kita tertanya mengapa?

Saya rasa pada mulanya tidak begitu. Mengimbas kembali, tokoh-tokoh seniman seperti P Ramlee dan Sudirman, yang kedua-duanya menghasilkan karya dalam Bahasa Melayu, telah disanjungi segenap masyarakat Malaysia. Saya ingat lagi kepada persembahan-persembahan Abang Sudir. Yang menariknya bukan sahaja rentak lagu dan lirik, tetapi juga penampilan dan pendekatannya yang senantiasa memeluk konsep kemalaysiaan. Siapa yang boleh lupa imej Abang Sudir dalam kaca televisyen pada petang minggu, memakai baju bendera Malaysia yang berkilau, bersinar dan berkedipan sambil membentangkan lagu-lagu yang membawa pesanan patriotisme dan perpaduan kaum?

Begitu juga dengan seorang lagi tokoh seniman di negara kita yang terkenal, iaitu kartunis Lat. Kejayaan beliau dalam menjangkaui jurang kebudayaan di negara kita adalah juga kerana sifat kemalaysiaannya. Hasil tintanya yang secara lazim menggambarkan suasana kehidupan harian masyarakat Malaysia berupaya menyentuh hati bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga masyarakat lain di negara kita bahkan di luar negara.

Malangnya, perkembangan budaya bahasa kita tampaknya sudah terbantut di setakat itu. Dalam pandangan saya, ini telah berlaku akibat daripada tindakan sesetengah pihak untuk menggunakan isu bahasa sebagai bahan politik. Dalam beberapa dekad yang terakhir ini, Bahasa Melayu telah dipolitikkan sehingga bahasa yang sepatutnya menjadi Bahasa Kebangsaan yang dimiliki semua telah dijadikan sebagai “sacred cow” atau sesuatu yang keramat dan tidak boleh dipersoalkan oleh golongan-golongan lain.

Dalam erti kata lain, Bahasa Melayu telah dijadikan perkara yang eksklusif kepada sesetengah masyarakat, lantas merenggangkan mereka daripada yang lain. Kelemahan ini pula sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kerencatan yang sedang dialami oleh Bahasa Kebangsaan kita.

Di sini, persamaan boleh dibuat dengan nasib Bahasa Latin, yang pada puncak kegemilangannya merupakan bahasa utama dunia klasikal. Tetapi lama kelamaan, Bahasa Latin telah dimonopoli oleh puak agamawan yang bermaharajalela semasa zaman pra-Reformasi di Eropah. Dengan gerakan Reformasi yang menyusul, golongan marhaen yang menolak kuasa mutlak gereja juga bertindak menolak bahasa yang digunakannya. Maka dari situ berkembanglah bahasa-bahasa lain seperti Perancis, Sepanyol dan sebagainya, manakala Bahasa Latin ditenggelamkan sehingga kepupusan pada zaman ini.

Iktibar daripada nasib Bahasa Latin perlu diambil secara serius. Bahasa yang maju hendaklah bersifat kosmopolitan dan tidak jumud dalam skop penggunaannya. Ia perlu inklusif, terbuka dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dari luar dan dalaman. Bahasa yang bersifat eksklusif dan dipolitikkan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu semestinya akan mengalami nasib sama yang menimpa Bahasa Latin.

Bahasa Melayu sebagai pemacu pemikiran

Dunia sekarang dunia globalisasi, di mana teknologi komunikasi sudah merentasi sempadan geografi. Dalam keadaan sedemikian memang terdapat pelbagai liku-liku dan perangkap yang boleh mengancam budaya dan bahasa kita. Namun pada masa yang sama, terdapat juga negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Indonesia yang telah memanfaatkan potensi globalisasi dengan sepenuhnya untuk memperluaskan budaya dan bahasa mereka.

Peluang yang sama mestilah dikenalpasti dan diambil untuk memperkembangkan Bahasa Melayu. Kita harus menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu bukan sahaja dalam urusan rasmi, seperti Bahasa Latin di zaman pra-Reformasi, tetapi lebih penting lagi dalam konteks masyarakat kosmopolitan.

Penggunaan Bahasa Melayu juga tidak harus dikongkong dengan penekanan kepada pembakuannya tetapi sebaliknya digalakkan untuk membangun secara semulajadi melalui budaya pop seperti penulisan, filem, lagu, puisi dan sebagainya. Di samping itu, perlu ada usaha yang lebih tekun untuk memastikan penterjemahan pelbagai hasil karya, bukan sahaja buku-buku malah juga filem-filem, dari bahasa-bahasa lain kepada Bahasa Melayu. Ketersediaan bahan bacaan yang bermutu tinggi dan yang mampu menarik minat umum adalah sangat kritikal untuk perkembangan bahasa.

Di sini, saya rasa Pulau Pinang mempunyai peranan yang relevan. Pada suatu ketika dahulu, Pulau Pinang pernah menjadi tuan rumah kepada industri percetakan Melayu yang termasyur di negara kita, hasil daripada kepimpinan tokoh-tokoh tersohor seperti Syed Sheikh Al-Hady dan Tuan Guru Yusof Rawa. Penerbitan buku-buku tafsir Al-Quran dan bahan-bahan cendekiawan progresif seperti jurnal Al-Ikhwan dan akhbar harian Saudara telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pemikiran dan wacana yang terunggul. Yang paling penting sekali, bahasa yang menjadi pengantara bagi gerakan intelektual tersebut merupakan Bahasa Melayu.

Inilah yang dikatakan dinamik dan kosmopolitan, apabila sesuatu bahasa digunakan untuk menyalakan inspirasi bagi gerakan budaya pop dan pemikiran baru. Pun begitu, usaha untuk memacu Bahasa Melayu kepada Bahasa Kosmopolitan yang unggul merupakan satu hasrat yang tidak mudah dan menuntut kepada satu iltizam yang utuh.

Dalam pada itu, saya percaya bahawa tiada satu pun impian yang terlalu besar atau mustahil. Yang diperlukan hanya langkah pertama, dan pada hari ini, Institut Pulau Pinang telah mengambil langkah demikian sebagai usaha kecil dalam aspirasi yang besar untuk menganjak bahasa kita ke tahap yang lebih tinggi di dunia antarabangsa.

Justeru, saya yakin bahawa wacana yang dianjurkan pada hari ini, yang menjadi sebahagian daripada siri Forum Nusantara kita, akan sedikit sebanyak membantu melakarkan beberapa gagasan yang dapat mencanai usaha untuk memperkasakan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kosmopolitan di rantau Nusantara dan juga di dunia.

Sekian terima kasih.