NB: This press statement was released on 30.03.2012.

Sempena ulangtahun kelahiran Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh yang ke-70, Penang Institute akan menganjurkan majlis khas untuk meraikan, menghargai dan mengiktiraf sumbangan perjuangan tokoh sasterawan yang tersohor ini.

Beliau yang juga dikenali dengan akronimnya “MHS” merupakan seorang tokoh Pulau Pinang yang telah mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam, memulakan kerjayanya di Butterworth dan menjadikan negeri ini sebagai pangkalan kegiatannya selama berpuluh-puluh tahun.

Selain memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu menerusi hasil tintanya, tokoh yang menganggap “sasterawan adalah lidah masyarakatnya” ini amat berjasa dalam dunia akademik menerusi usahanya dalam pembangunan teori bahasa Melayu.

Acara sambutan terbahagi kepada 3 program:

1. Pameran Khas
Sebuah Pameran Khas akan diadakan di ruang legar Tingkat 3 KOMTAR yang akan berlangsung dari Isnin, 9 April 2012 hingga Sabtu, 14 April 2012 (10.00 pagi hingga 5.00 petang). Pameran tersebut akan mempersembahkan sumbangan, karya dan perjalanan hidup Prof MHS.

2. Forum Nusantara
Seterusnya, siri keempat Forum Nusantara akan diadakan pada Sabtu, 14 April dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari di Auditorium F, Tingkat 5 KOMTAR, dengan tajuk “Sireh Pulang ke Gagang: Menelusuri Karya dan Jasa SN Muhammad Hj Salleh”. Forum ini bakal dibarisi oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Prof Dato’ Dr Salleh Yaapar, Prof Madya Dr Mawar Safie, Eddin Khoo dan Prof Dato’ Dr Abdul Kadir Lebai Din sebagai moderator.

3. Malam Kemuncak
Acara sambutan akan diakhiri dengan program Malam Kemuncak Sambutan Ulangtahun Kelahiran ke-70 Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, bermula dari jam 7.30 malam hingga 11.00 malam, di Dewan Tunku (Dome), Tingkat 5, KOMTAR.

Program kemuncak ini bakal menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh khas dari dalam dan luar negeri, seperti Goenawan Mohamad, tokoh sasterawan tersohor di Indonesia dan pengasas majalah Tempo, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan membentangkan sebuah pengkisahan khas tentang MHS serta Hasmi Hashim (Buddhi Hekayat) yang terkenal sebagai penulis lirik lagu Awan Nano. Ucapan pengantar sambutan pula akan disampaikan oleh YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang.

Penang Institute amat berbangga untuk mengajak para peminat dan pencinta bahasa dan budaya dari seluruh pelusuk negara untuk menghadiri dan menjayakan acara khas ini yang bertujuan untuk meraikan seorang tokoh yang sudah lama menuang baktinya demi memelihara dan mengembangkan dunia persuratan di rantau ini.

Zairil Khir Johari, Penang Institute CEO