NB: This press statement was released on 17.04.2012.

Kenyataan terbaru Dato’ Ibrahim Ali yang mencabar DAP untuk mencadangkan supaya Kerajaan Singapura memansuhkan ISA adalah sesuatu yang sukar untuk difahami.

Pertama sekali, bukankah dasar negara kita adalah untuk tidak mencampur tangan dalam hal ehwal negara lain, apatah lagi negara jiran yang juga ahli ASEAN?

Seterusnya, apakah sebenarnya yang ingin disindir oleh Dato’ Ibrahim? Umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan hak asasi manusia.

DAP tidak pernah teragak-agak untuk membantah dan menentang undang-undang zalim dan mencabul hak asasi seperti ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Kami menentang penggunaannya bukan sahaja di Malaysia, bahkan di mana-mana negara di dunia ini. Ini adalah selaras dengan pendirian DAP yang memartabatkan hak asasi dan kebebasan setiap insan.

Saya rasa jika Dato’ Ibrahim ingin sangat untuk mempertahankan ISA yang dikatakannya sebagai “berjaya mengekalkan keamanan”, beliau sepatutnya membantah pemansuhan ISA di negara kita. Kenapakah beliau tidak membuat demikian? Apakah beliau hanya berani untuk mencabar orang dari jauh dan tidak berani untuk mempertahankan pendiriannya di negara sendiri?

Jika Dato’ Ibrahim betul-betul berani, beliau dan Perkasa patut membuat demonstrasi bantahan secara besar-besaran terhadap Dato’ Sri Najib di Putrajaya untuk membuktikannya.

Saya ingin menegaskan bahawa DAP tidak ada kena mengena dengan Singapura atau mana-mana negara lain kerana DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia sahaja.

Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP