NB: This speech was delivered at the 4th series of Forum Nusantara on 14 April 2012. The following reproduction is abridged.

Saya ingin bermula dengan mengucapkan selamat datang kepada hadirin sekalian. Ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk acara kita pada pagi ini.

Forum Nusantara kali ini yang bertajuk “Sireh Pulang ke Gagang – Menelusuri Jasa dan Bakti Prof Muhammad Haji Salleh” adalah siri keempat, dan merupakan kali pertama kami menganjurkannya di bahagian pulau. Forum-forum sebelum ini telah diadakan di Bandar Perda, Seberang Jaya. Syukur, sejak siri forum ini dimulakan, sambutannya makin menggalakkan.

Tujuan kami menganjurkan program Forum Nusantara ini adalah untuk mewujudkan ruang untuk wacana kebudayaan dan keintelektualan berbahasa Melayu khususnya bagi masyarakat Pulau Pinang.

Umum mengetahui bahawa Pulau Pinang dari segi sejarah merupakan pusat kebudayaan yang penting bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Nusantara. Pelbagai gerakan pemikir yang progresif dan reformis telah berpusat dan berkembang di negeri ini. Maka, adalah malang sekali sekiranya khazanah negeri kita ini dibiarkan terpadam begitu sahaja.

Selain itu, kami di Penang Institute juga sedar bahawa sejarah secara sendiri adalah tidak relevan dan sekadar romantisme. Adalah lebih penting jika pengkisahan sejarah lalu boleh dihubungkan dengan realiti hari ini. Sejarah lalu tidak patut dianggap hanya sebagai kisah-kisah lama tetapi perlu digandingkan dengan isu-isu semasa supaya persepsi dan pemahaman kita akan lebih jelas dan dimantapkan lagi. Oleh itu, kami di Penang Institute bertekad ingin mengembalikan kegemilangan Pulau Pinang sebagai pusat ilmu dan seni-budaya yang terulung di rantau Nusantara.

Sasterawan Negara yang kita raikan hari ini, iaitu Prof Muhammad Haji Salleh, merupakan antara bukti hidup keunggulan Pulau Pinang dalam bidang kesusasteraan. Anak Pulau Pinang ini telah merantau ke merata-rata dunia, bukan sahaja untuk menimba ilmu, malah juga untuk menawarkannya. Justeru, forum yang kita adakan pada pagi ini untuk membincangkan hasil-hasil karya beliau, hanyalah usaha kecil kami untuk menghargai tokoh besar ini.

Forum ini juga merupakan sebahagian daripada program sambutan ulangtahun kelahiran ke-70 Sasterawan Negara kita yang telah bermula pada 9hb April dengan perasmian Pameran Khas Prof Muhammad Haji Salleh. Acara kemuncak pula akan berlangsung pada malam ini, di mana kita akan disertai oleh beberapa tetamu istimewa termasuk seorang tokoh sastera dan budaya yang tersohor dari Indonesia dan juga teman karib Prof Muhammad Haji Salleh, iaitu Pak Goenawan Mohamad, yang akan menyampaikan pidato kebudayaan.

Kami di Penang Institute percaya bahawa isu-isu bahasa, budaya, sastera dan sebagainya tidak harus dibiarkan hanya berlegar di gelanggang akademia dan universiti mahupun di tangan pihak berkuasa. Sesungguhnya, budaya itu adalah sebahagian daripada keinsanan kita. Ia adalah sesuatu yang organik dan harus digalakkan untuk bertumbuh dan berkembang bersama masyarakatnya. Semoga forum kita pada pagi ini akan membantu kita untuk menghayati kepentingan ruang dan kebebasan dalam pembangunan seni dan budaya.

Sekian, terima kasih.