NB: This press statement was released on 24.9.2012.

Esok bakal berlangsung pilihan raya kampus bagi 15 lagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sesudah lima IPTA selesai memilih majlis perwakilan pelajar masing-masing minggu lalu. Pada Hari Malaysia, mahasiswa telah berhimpun dan berarak di Kuala Lumpur bagi menuntut pilihanraya kampus yang bersih.

Saya tertarik dengan laporan akhbar Sinar Harian pada 21 September lalu yang memberitakan bahawa Pro-Aspirasi berjaya kekal kuasa di UiTM, sambil memetik Naib Canselornya, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, sebagai berkata bahawa seratus peratus pemimpin mahasiswa yang bertanding adalah “calon Aspirasi UiTM”.

Ini amat menghairankan saya.

Jika semua calon yang bertanding adalah calon Pro-Aspirasi, bagaimanakah yang dikatakan mereka ini dapat “kekal berkuasa” di Universiti Teknologi MARA? Siapakah lawan politik mereka jika bukan berlawan sesama sendiri? Apakah ini yang dinamakan demokrasi? Atau adakah ini sebenarnya “demokrasi terpimpin” ala Sukarno yang dipupuk oleh pihak universiti?


Saya tambah keliru dengan konsep Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menjadi amalan universiti-universiti kita pada hari ini. Rata-rata saya saksikan mereka sekadar menjadi jawatankuasa pemudahcara antara pihak pentadbir universiti dengan pelajar.

Saya tidak hairan jika ada segelintir mahasiswa yang melabelkan mereka sebagai “staf sokongan” kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar, memandangkan peranan yang dimainkan oleh MPP adalah sekadar membantu pihak universiti untuk melaksanakan dasar-dasar universiti. Lebih teruk lagi apabila MPP diarahkan supaya melaksanakan aspirasi dan dasar-dasar kerajaan.

Di sini, saya ingin merujuk kepada pendedahan video (http://youtu.be/S7A6gGZQfUI)  yang menunjukkan bagaimana seorang pentadbir universiti mempengaruhi jawatankuasa kolej kediaman untuk menyokong kerajaan UMNO-BN dalam taklimat beliau menjelang pilihanraya kampus. Pentadbir tersebut didakwa adalah seorang Penolong Naib Canselor di sebuah IPTA.

 

Jika isi kandungan video tersebut adalah benar, maka apa yang terjadi adalahcampurtangan berat daripada pihak pentadbiran universiti dalam mencatur pilihan raya kampus supaya dimenangi oleh calon-calon yang disenangi pihak pentadbiran. Campurtangan sebegini wajar dikutuk dan ditentang kerana ia merupakan satu pencabulan demokrasi yang nyata.

Sewajarnya mahasiswa diberi kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja daripada kalangan mereka untuk mewakili suara mereka di peringkat pentadbiran, dan bukannya menjadi suara pentadbiran kampus di kalangan mahasiswa. Sebarang usaha untuk mencatur pilihan raya kampus oleh pihak pentadbiran mestilah dihentikan.

Universiti seharusnya menjadi medan percambahan idea, dan tiada cara lain yang lebih afdal berbanding pilihan raya kampus, yang dapat membuka ruang perdebatan dan kapasiti pemikiran para mahasiswa.

Rugilah sekiranya mahasiswa dinafikan hak memilih dan bertanya jika mereka terus diancam dan diugut dengan sentimen kaum dan keamanan, dan seterusnya dididik untuk menjadi robot yang dihasilkan kilang-kilang sumber manusia untuk menjana ekonomi semata-mata, dan kekal bisu tidak menyoal.

Zairil Khir Johari, Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY