NB: This press statement was released on 7.12.2012.

Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow atas keberanian beliau untuk mendedahkan belang perkaumannya dalam sebuah majlis makan malam anjuran MCA di kawasan Bagan, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurut laporan media, Teng, yang juga merupakan calon Ketua Menteri BN dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang, dipetik sebagai mempersoalkan sama ada Pulau Pinang kian menuju ke arah Islamisasi berikutan peningkatan beratus-ratus peratus peruntukan hal ehwal agama Islam berbanding zaman pemerintahan BN.

Malah, Teng telah berkata, “Ketua Menteri Lim Guan Eng selalu mengusik pemimpin sebelumnya Koh Tsu Koon takut kepada UMNO tetapi ketika pentadbiran (Koh) tidak ada begitu banyak peruntukan untuk majlis agama Islam.”

Dengan kenyataan Teng yang begitu terus terang menonjolkan kesanggupan beliau untuk memperlekehkan agama persekutuan demi kepentingan politik sempit, rakyat Pulau Pinang khususnya masyarakat Melayu harus bertanyakan sama ada mereka mahukan seorang Ketua Menteri yang berpendirian jumud.

Walaupun saya berasa kesal dengan kenyataan Teng, saya tidak terkejut langsung. Ia cuma kesinambungan strategi BN untuk melaga-lagakan rakyat dengan isu-isu perkauman dan agama secara selektif. Pun begitu, saya percaya rakyat sudah semakin celik dan tidak akan terumpan dengan taktik kotor dan tidak berprinsip ini.

Sesungguhnya langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang untuk menaikkan martabat agama Islam dengan peningkatan peruntukan berkali-kali ganda adalah sesuatu yang baik dan harus disokong.

Sejak mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah meningkatkan peruntukan hal ehwal agama Islam daripada RM12.5 juta pada tahun 2008 kepada RM64 juta untuk tahun 2012. Ini termasuk RM22.8 juta untuk pembesaran tanah kubur Islam di Jelutong di mana tanah milik masyarakat Cina telah diperolehi untuk tujuan tersebut, pembelian tanah untuk Sekolah Agama Rakyat, peruntukan tambahan tahunan bagi Sekolah-sekolah Agama Rakyat, wang sumbangan tahunan dan pengiktirafan kepada guru KAFA dan para huffaz serta program-program lain. Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan tanah seluas 3.49 ekar yang bernilai RM36.5 juta bagi tujuan membina Kompleks Mahkamah Syariah baru setinggi tujuh tingkat.

Semua usaha-usaha di atas merupakan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk meluhurkan syiar Islam setanding dengan tarafnya sebagai agama persekutuan, dan tidak harus diputar belitkan dan dijadikan isu perkauman sempit.

Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP