NB: This press statement was released on 20.2.2013.

Pemimpin-pemimpin UMNO seakan-akan tiada modal lain selain terus memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya dengan dakwaan-dakwaan palsu bahawa kononnya kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang makin tergugat dan terpinggir.

Dalam laporan Berita Harian semalam yang bertajuk “Melayu akan lenyap jika terus leka”, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohamad Hasan telah dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah “meluluskan pembinaan Universiti Nanyang dari China di Kampung Genting, Balik Pulau” yang “dilihat sebagai usaha senyap untuk mengusir orang Melayu dari kawasan itu.”

Dato’ Seri Mohamad turut menambah, “… sekarang tanah diambil untuk membina universiti bukan dari negara ini. Lama-kelamaan orang Melayu di Pulau Pinang akan mencari kawasan penempatan lain di luar Pulau Pinang dan akhirnya tiada lagi Melayu di Pulau Pinang.”

Adalah jelas di sini bahawa kenyataan Dato’ Seri Mohamad Hasan bertujuan semata-mata untuk menghasut sentimen perkauman serta menimbulkan rasa takut dan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah meluluskan apa-apa projek pembangunan yang berkaitan dengan Universiti Nanyang. Oleh itu, dakwaan Dato’ Seri Mohamad Hasan yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian adalah fitnah jahat yang tidak berasas sama sekali. Justeru, saya telah membuat laporan polis terhadap Dato’ Seri Mohamad Hasan atas dakwaan palsunya.

Sebenarnya, amanah orang Melayu di Pulau Pinang telah diseleweng bukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat tetapi oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri, seperti dalam kes di Kampung Terang, Balik Pulau, di mana dua pemimpin kanan UMNO negeri iaitu Dato’ Musa Sheikh Fadzir dan Dato’ Omar Faudzar telah membeli 10 ekar tanah yang dimiliki 31 orang pemilik Melayu.

Tidak sampai empat bulan kemudian, tanah tersebut yang dibeli dengan jumlah harga RM8.6 juta telah dijual kepada sebuah pemaju swasta pada harga RM13.5 juta. Dengan kata lain, Dato’ Musa dan Dato’ Omar telah berjaya mengaut keuntungan “atas angin” yang berjumlah hampir RM5 juta dengan mengambil kesempatan ke atas pemilik-pemilik Melayu tersebut. Jadi, siapakah sebenarnya yang menggadai tanah Melayu demi keuntungan peribadi?

Sebaliknya, kerajaan Pulau Pinang senantiasa peka terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam menangani masalah harga rumah yang tinggi. Oleh itu, kerajaan negeri telah bertekad untuk membangunkan 19,000 unit rumah mampu milik dalam masa yang terdekat. Baru-baru ini, kerajaan negeri telah membuka pendaftaran bagi 1,320 unit rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah, George Town dan 520 unit di Bandar Cassia, Batu Kawan. Kebanyakan daripada rumah-rumah yang ditawarkan itu adalah rumah kos sederhana-rendah yang berharga RM72,500. Projek-projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Pulau Pinang dapat memperolehi rumah berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Oleh itu, sebarang dakwaan yang menuduh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sebagai meminggirkan mana-mana masyarakat adalah tidak benar sama sekali.

Zairil Khir Johari, Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang