NB: This press statement was released on 20 May 2013.

Kami mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional menahan pemimpin mahasiswa Adam Adli dan menggesa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak supaya menghentikan segala usaha yang cuba menghapus suara rakyat yang tidak puas hati dengan penipuan yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kerajaan patut menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijaminkan oleh Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

Amat malang sekali, minggu pertama penggal baru kerajaan Najib dan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dicemari oleh perbuatan anti-demokrasi yang menindas rakyat Malaysia. Penggunaan Akta Hasutan 1948 yang merupakan warisan penjajah menunjukkan bahawa Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Sebelum ini juga, Tan Kar Hing, ADUN Simpang Pulai, Perak yang merupakan penganjur Himpunan Blackout di Perak, serta dua orang siswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang menganjurkan GELAP 13, telah dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan. Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Seri Setia, Selangor juga telah didakwa dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana Himpunan Blackout di Stadium Kelana Jaya, Selangor.

Hari ini, polis juga menyiasat kerajaan Pulau Pinang dibawah Akta Himpunan Aman mengenai program perhimpunan yang dianjurkan di Padang Kota Lama pada 18 Mei 2013.

Jelas sekali, semua ini merupakan cubaan pihak berkuasa untuk menghapuskan suara rakyat yang mempertikaikan kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 melalui taktik-taktik yang tidak sah.

Kami menggesa supaya kerajaan pusat segera membebaskan Adam Adli, dan membatalkan dakwaan ke atas Nik Nazmi Nik Ahmad. Kami juga berharap kerajaan pusat akan berhenti mengheret dan mendakwa rakyat yang berhimpun secara aman untuk meluahkan pendapat mereka.

Kedua-dua Akta Hasutan dan Akta Himpunan Aman patut dimansuhkan kerana bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan dan konvensyen antarabangsa. Kerajaan yang berjiwa rakyat tidak akan takut kepada rakyat dan tidak akan menakut-nakutkan rakyat.

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera / Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam / Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY