NB: This article was originally published in my column on The Malaysian Insider.

Jika perkembangan media Melayu mutakhir ini diperhatikan, sifat-sifat kewarasan, keberkecualian dan kesusilaan sudah jelas tidak wujud.

Sentimen perkauman bagai menjadi kelumrahan media Melayu zaman sekarang, baik di kaca mata televisyen ataupun dalam media cetakan. Nyata trend yang sempit ini sedang diterajui oleh media-media kawalan Umno, khususnya Kumpulan Utusan Melayu.

Sejurus selepas pilihan raya umum ke-13, Utusan Malaysia dengan tidak segannya telah mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” melalui tajuk berita utama, manakala tabloid Kosmo! yang dimiliki kumpulan yang sama telah meluahkan muka depan yang tidak kurang provokatifnya, yakni, “Pengundi Cina bersikap talam dua muka”.

Seperti biasa, fitnah diterbit sebagai fakta dan tohmahan menjadi bahan ulasan para pengarang. Pengundi kaum Cina dipersalahkan atas kemerosotan keputusan pilihan raya Barisan Nasional, meskipun hujahnya tidak logik ― bagaimanakah mungkin golongan yang merangkumi lebih kurang satu suku populasi negara boleh memberikan 51 peratus undi popular (53 peratus di Semenanjung) kepada Pakatan Rakyat?

Jelas, kemenangan undi popular Pakatan Rakyat membuktikan bahawa gabungan parti tersebut telah menerima sokongan yang padu daripada segenap masyarakat Malaysia ― namun hakikat ini langsung diabaikan oleh media kawalan Umno yang tidak ingin menerima kenyataan.

Agenda perkauman kemudian telah diteruskan dengan seruan Awang Selamat, iaitu suara hati lembaga pengarang Utusan, untuk memboikot syarikat penerbangan Air Asia ekoran kritikan seorang pegawai kanannya, Azran Osman-Rani, yang telah mencemuh akhbar Utusan kerana bersifat rasis.

Dan jika itu tidak mencukupi, Utusan kemudiannya menyiarkan kenyataan Perkasa yang menyelar Azran sebagai “bongkak” dan “lupa diri”, serta “mengingatkan” Azran agar tidak sesekali “menyentuh” Utusan Malaysia kerana akhbar itu merupakan satu-satunya wadah yang mempertahankan hak orang Melayu di negara ini, seolah-olah segala kejayaan Azran adalah hasil daripada jasa-jasa akhbar tersebut.

Aduhai, malangnya nasib bangsa sehingga perisai perkauman terpaksa menjadi pelindung kepada umat Melayu. Agaknya, tanpa “perlindungan” daripada wira-wira bangsa seperti Utusan dan Perkasa, tidak mungkin Melayu dapat berjaya atas usaha gigih sendiri ― inilah sebenarnya sikap yang memperlekehkan dan merendahkan martabat bangsa!

Keadaan ini bukan sahaja sangat mendukacitakan, tetapi amat memalukan, khususnya apabila Utusan Malaysia pernah pada suatu ketika dahulu menjadi tonggak dan peneraju kepada suara masyarakat Melayu yang bebas.

Mungkin ramai yang telah lupa peristiwa tahun 1961 apabila pekerja-pekerja Utusan, termasuk tokoh kewartawanan seperti Said Zahari (yang ketika itu Ketua Pengarang), Usman Awang (kini Sasterawan Negara), serta barisan penulis dan wartawan seperti Abu Zaki Fadzil, Awam-il Sarkam, Salleh Yusof, Tajuddin Kahar, Zailani Sulaiman, Rosdin Yaakub dan lain-lain telah melancarkan kempen mogok.

Tujuan mogok tersebut adalah untuk membantah pengambilalihan Utusan oleh Umno yang tidak senang dengan sikap akhbar itu yang kritikal terhadap pemerintah dan pro kepada masyarakat terbanyak.

Akhirnya, 50 tahun kemudian, kekhuatiran Said Zahari, Usman Awang dan para pekerja Utusan pada zaman 60-an yang mahukan Utusan kekal bebas daripada campur tangan politik, sudah pun menjadi kenyataan. Malah, Said Zahari dan Usman Awang tidak mungkin dapat bayangkan betapa corotnya kualiti kewartawanan akhbar yang pernah menjadi perjuangan mereka.

Akibatnya, Utusan sudah hilang wibawa di mata orang Melayu, khasnya golongan kelas menengah seperti Azran yang sudah lelah dengan politik perkauman dan fitnah. Jika tidak kerana langganan kerajaan melalui jabatan-jabatan, agensi-agensi dan anak-anak syarikatnya, Utusan tidak mungkin mampu bernyawa, apatah lagi apabila ia seringkali didapati bersalah oleh mahkamah dan dipaksa untuk membayar ganti rugi kepada mangsa-mangsa fitnahnya (Lim Guan Eng dua kali, Karpal Singh, Khalid Samad, Azan Ismail sebagai contoh-contoh yang terbaru).

Hakikatnya, Utusan yang dahulu menjuarai suara masyarakat terbanyak sudah menjadi alat politik parti konservatif kanan yang ketandusan ilham dan gagal merangkumi gagasan politik baru yang berteraskan idea. Yang paling malangnya, “usaha-usaha murni” Utusan serta puak-puak haluan kanan ini sebenarnya tidak memajukan, malah memperbodohkan bangsa sendiri.

Pada saya, keadaan Utusan Malaysia pada hari ini adalah tragedi yang sangat besar kepada warisan akhbar Melayu. Jalan keluar daripada kemelut ini hanya satu ― media massa di negara kita harus dibebaskan.

Pengalaman di negara-negara lain yang telah beralih daripada media terkongkong kepada media yang bebas telah menunjukkan bahawa akhbar-akhbar yang berpendirian sempit dan berhaluan ekstrim seperti Utusan Malaysia tidak dapat bersaing dan akhirnya akan berhadapan dengan dua pilihan: tukar pendirian atau tutup kedai. Yang berjaya adalah mereka yang mampu memenuhi kehendak pasaran untuk kewartawanan yang lebih objektif.

Jika warisan akhbar Melayu hendak diselamatkan dan kewibawaan dikembalikan, jalannya adalah melalui pembebasan media.