NB: This press statement was released on 6 June 2013.

Sebaik sahaja bermulanya filem, imej pertama yang kelihatan adalah seorang “pak haji” dengan keffiyeh di kepala tetapi memakai sut lengkap beserta tali leher. Beliau memulakan ceritanya:

“Di dalam bandar Isketambola ini, banyak mempunyai saudagar-saudagar, hartawan-hartawan, bangsawan-bangsawan, dermawan-dermawan yang makan di pinggan minum di cawan. Al kisah di dalam banyak hartawan-hartawan yang beribu jutawan terdapat seorang hartawan yang tinggi pendirian. Hartanya banyak berkoyan-koyan, di dalam Isketambola tidak ada tandingan. Rumahnya indah tinggi menawan, terletak di  atas Bukit Cendawan. Siapa terpandang sangatlah hairan, mata terbeliak, tersampuk syaitan…”

Demikianlah, watak S. Shamsuddin dalam filem Tiga Abdul (1964) sebagai tukang cerita memulakan kisah. Namun, Tiga Abdul bukan hanya filem hitam putih yang diulang tayang lebih sepuluh kali dalam setahun tetapi juga merupakan cerminan pemikiran masyarakat pada zamannya.

Tiga Abdul adalah gambaran masyarakat yang sangat kosmopolitan dari segi budayanya – keffiyeh, kot, tali leher, tarbus – dan makmur dari segi ekonominya dengan kota yang penuh dengan para saudagar, hartawan, bangsawan dan dermawan. Barangkali itulah citra yang cuba dipaparkan – masyarakat Melayu yang berjaya, kosmopolitan, yakin diri dan tidak khuatir untuk bersaing.

Pastinya, filem adalah filem. Pun begitu, filem juga, sebagaimana produk-produk budaya yang lain, merupakan tumpahan idea, ilham, hasrat dan ingatan yang sarat dengan pengalaman.

Kami di Penang Institute sentiasa percaya bahawa karya-karya seni dan budaya kita harus bukan sahaja dipelihara tetapi juga diraikan. Justeru, bagi memperingati dan menghargai warisan budaya baik dari sudut intelektual mahupun sudut popular, Penang Institute telah menganjurkan Festival P Ramlee yang telah berlangsung selama sebulan pada akhir tahun lepas. Walaupun dinamakan Festival P Ramlee, namun yang diraikan adalah kesemua tokoh-tokoh seniman dari era kegemilangan filem Melayu – era Jalan Ampas.

Kini, S. Shamsuddin sudah tiada. Beliau telah meninggalkan kita pada 4 Jun 2013 yang lalu di kediamannya di Singapura. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar untuk masyarakat seni dan peminat seni.

Namun, sepertimana yang pernah diujar oleh Allahyarham P Ramlee kepada rakannya Aziz Sattar, jika beliau mati, beliau akan “hidup” seribu tahun lagi melalui seninya. Begitulah juga Allahyarham S. Shamsuddin.

Al-Fatihah.

Zairil Khir Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute / Ahli Parlimen Bukit Bendera