NB: This press statement was released on 20 June 2013.

Lebih seminggu sudah berlalu sejak pendedahan kami bahawa Mohd Nadzri Ibrahim, pegawai penyiasat tunggal Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang juga ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang terbaru, merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama yang terlibat dalam kes Saudara Teoh Beng Hock.

Selain daripada kenyataan SPRM yang mengesahkan identiti pegawai tersebut, tidak ada sebarang tindakan susulan yang telah diambil oleh EAIC mahupun Menteri-menteri yang bertanggungjawab, iaitu Datuk Paul Low dan Perdana Menteri sendiri Dato’ Sri Najib Razak.

Baru-baru ini, beberapa orang menteri telah tampil memberi kenyataan mengenai EAIC. Menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Kabinet telah bersetuju supaya EAIC diperkasakan, manakala Paul Low menyatakan bahawa EAIC mungkin akan diberi kuasa pendakwaan termasuk dalam kes salahlaku pegawai.

Kami berpendapat bahawa semua kenyataan berbelit-belit ini merupakan sandiwara semata-mata kerana mereka langsung tidak menjawab persoalan besar tentang status pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim, yakni mengapakah seorang pegawai yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan boleh dilantik menjadi pegawai penyiasat kanan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang lain?

Jika soalan semudah ini tidak dapat dijawab, rakyat akan terus meragui keupayaan EAIC serta agensi-agensi penguatkuasa lain.

RM25 juta bakal dibazir?

Dalam kenyataan terbaru, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata bahawa kerajaan pusat akan membelanjakan RM25 juta untuk membina infrastruktur lokap khas bagi mengelakkan kes kematian dalam tahanan.

Perlu diingatkan bahawa EAIC telah membelanjakan RM14 juta selama dua tahun tetapi langsung tidak mendatangkan sebarang hasil selain daripada dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut. Justeru, kami khuatir perbelanjaan besar yang diumumkan oleh Zahid Hamidi ini bakal menjadi lagi satu pembaziran kerajaan pusat.

Daripada bercakap berbelit-belit, menteri-menteri baru harus menggunakan pengaruh mereka untuk menunaikan tuntuan rakyat yang jelas, iaitu:

1)      Menggugurkan pegawai penyiasat tunggal Mohd Nadzri Ibrahim daripada EAIC seperti yang disaran oleh MACC sendiri;

2)      Mengambil tindakan siasatan lanjut terhadap pegawai-pegawai SPRM seperti yang disaran oleh laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja kes Teoh Beng Hock dan juga Majlis Peguam;

3)      Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dengan bidang kuasa dan terma rujukan seperti yang dicadangkan oleh Laporan Dzaiddin 2005;

4)      Menubuhkan Mahkamah Koroner yang bebas dan profesional serta menggunakan tatacara antarabangsa untuk menyiasat kes-kes kematian luarbiasa termasuk kematian dalam tahanan.

Badan selia PDRM yang bebas dari politik – IPCMC bukan sahaja menghukum tetapi patut berkuasa dalam hal kenaikan pangkat

Jelas, rakyat sudah menolak harimau tidak bertaring seperti EAIC serta perubahan-perubahan kosmetik yang hanya membazir wang rakyat. Sebaliknya, rakyat menuntut sebuah badan selia yang betul-betul bebas dan berkuasa seperti IPCMC.

Selain daripada kuasa pendakwaan dan kuasa menghukum, IPCMC juga harus diberi kuasa dalam hal kenaikan pangkat polis. Ini akan menjamin kenaikan pangkat dalam pasukan polis adalah berdasarkan prestasi dan bukan kerana campur tangan politik.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri pernah mendakwa bahawa sering berlaku campur tangan politik, termasuk daripada Menteri Kabinet, dalam perjalanan tugas polis. Justeru, penubuhan IPCMC adalah satu-satunya cara untuk menjamin ketelusan dan seterusnya mengembalikan maruah Polis Diraja Malaysia.

Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera