NB: This press statement was released on 26 Jun 2013 in Kuala Lumpur.

Kami kesal dengan jawapan kabur Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes kematian dalam tahanan. Menurut jawapan lisan beliau dalam sesi Parlimen pagi tadi, terdapat 231 kes kematian dalam tahanan dari tahun 2000 hingga Mei 2013. Daripadanya, 196 telah mati akibat penyakit seperti HIV, asma dan sakit jantung, 29 kes gantung diri, dua kes pergaduhan sesama tahanan, dua kes tergelincir dan dua disebabkan polis.

Sekiranya begitu, kami ingin bertanya, berdasarkan angka yang dibentangkan ini, kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini jatuh dalam kategori mana?

Sakit akibat dipukul polis?

Pada masa yang sama, kes kematian A Kugan juga menimbulkan keraguan tentang statistik Zahid Hamidi. Ini kerana kes Kugan pada awalnya telah didakwa oleh polis sebagai mati akibat paru-paru berair, namun pada pagi ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa A Kugan telah mati akibat penderaan pihak polis. Tambahan pula, hakim Datuk VT Singham telah mempertanggungjawabkan kematian Kugan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang merupakan Ketua Polis Selangor pada ketika itu. Singham juga telah menganugerahkan pampasan sebanyak RM751,700 serta kos RM50,000 kepada keluarga mendiang.

Terdapat kes-kes lain juga seperti kes C Sugumaran yang mula-mula dilaporkan mati akibat sakit jantung walaupun ada saksi yang menyatakan beliau telah digari dan kemudian dipukul oleh polis.

Oleh itu, adakah statistik Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa sebilangan besar kes kematian dalam tahanan itu boleh dipercayai?

Tiada alasan tidak tubuh IPCMC

Jelas, kes-kes ini lebih daripada mencukupi untuk kerajaan segera bertindak menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Malangnya, Zahid Hamidi dalam kenyataan balasnya telah berkata bahawa IPCMC tidak boleh dilaksanakan kerana bertindih dengan peruntukan perundangan sedia ada. Sebaliknya, kerajaan telah menubuhkan Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) sebagai tindak balas terhadap Laporan Tun Dzaidin 2005.

Malangnya, EAIC sudah terbukti bukan sahaja tidak mampu menangani masalah yang dihadapi, malah telah hilang kredibiliti sebagai badan pemantau agensi penguatkuasa. Baru-baru ini, selepas pendedahan kami, EAIC telah menggugurkan seorang pegawai penyiasat kanannya daripada pasukan petugas menyiasat kematian dalam tahanan kerana penglibatan beliau dalam kes Teoh Beng Hock. Ini jelas mengesahkan bahawa EAIC sudah hilang kredibilitinya.

Jika kerajaan sanggup membelanjakan RM25 juta bagi membina lokap khas seperti yang diumumkan oleh Zahid Hamidi, mengapakah perkara semudah IPCMC tidak boleh dilaksanakan? Kami khuatir sikap kerajaan yang ragu-ragu untuk menubuhkan badan bebas ini akan memperkuatkan lagi persepsi bahawa kerajaan hanya mahu memperalatkan agensi kerajaan.

Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera

Advertisements