NB: This press statement was released on 27 June 2013 in Kuala Lumpur.

Kami merujuk kepada laporan media bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Nor Afizah Hanum Mokhtar, telah digugurkan dan ditukar ke agensi lain serta-merta, tanpa sebarang alasan jelas.

Tindakan ini berikutan pengguguran pegawai penyiasat kanan Mohd Nadzri Ibrahim daripada pasukan petugas menyiasat kematian dalam tahanan selepas kami mendedahkan bahawa beliau terlibat dalam kes Teoh Beng Hock. Dalam kata lain, dalam masa sesingkat satu minggu, dua orang pegawai kanan EAIC mengalami pertukaran jawatan secara mengejut.

Bagaimanakah mungkin AEIC melaksanakan tugasnya dengan sempurna dengan pentadbiran caca-merba ini? Jelas, EAIC langsung tidak layak menggunakan perkataan “integriti” pada namanya. Pegawai-pegawai kanan boleh dilantik, digugur, dinaik jawatan, dan ditukar tanpa sebarang proses yang telus. Tindakan ini sudah pasti akan menimbulkan keraguan yang amat sangat terhadap kebebasan dan kecekapan pegawai-pegawai EAIC dalam perlaksanaan tugas mereka. Adakah faktor politik akan mempengaruhi perlaksanaan kerja EAIC?

Jelas, EAIC merupakan sandiwara kerajaan pusat untuk mengelak daripada melaksanakan saranan Laporan Tun Dzaidin 2005 iaitu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC). IPCMC akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan kepada Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC pada masa kini. Segala hal ehwal perlantikan juga akan dilaksanakan secara terbuka dan telus bagi menjamin integriti yang tinggi. Hal ini adalah kerana IPCMC ialah badan pemantau (watchdog) bagi agensi penguatkuasa, maka kredibiliti badan tersebut mestilah sentiasa terjamin.

Justeru, pendirian kami tetap sama, iaitu EAIC patut dimansuhkan serta-merta dan digantikan dengan IPCMC demi menjamin profesionalisme agensi penguatkuasaan negara kita dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya.

Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera