NB: This press statement was released on 28 June 2013 in Alor Setar.

Hari ini, Jawatankuasa Interim Negeri DAP Kedah telah mengadakan mesyuarat julung kali sejak perlantikan saya sebagai Pengerusi Interim DAP negeri ini.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan terdahulu DAP Kedah yang telah berkhidmat dengan sedaya upaya mereka. Atas usaha mereka serta sokongan yang kuat daripada rakyat negeri Kedah, DAP telah berjaya mencapai kemenangan dalam dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, iaitu Derga dan Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Umum yang ke-13.

Ini merupakan kemenangan 100 peratus kerana DAP Kedah hanya bertanding dalam dua kerusi. Walaupun kejayaan ini adalah cemerlang, kami berharap bahawa bilangan kerusi yang ditandingi boleh ditingkatkan memandangkan DAP sudah menjadi parti kedua terbesar di Malaysia dari segi jumlah wakil rakyat. DAP kini mempunyai 145 orang wakil rakyat, iaitu 38 orang Ahli Parlimen dan 107 orang Ahli Dewan Undangan Negeri. Hanya parti UMNO yang mempunyai jumlah wakil rakyat yang lebih.

Pada masa yang sama, DAP mempunyai sejarah yang panjang di Kedah. Malah, Bandar Alor Setar merupakan kerusi yang pernah dimenangi oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Sdr Karpal Singh. Oleh itu, adalah diharapkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, DAP Kedah dapat bertanding dalam lapan kerusi termasuk dalam kerusi Parlimen.

Maka, tugas saya sebagai wakil Jawatankuasa Tertinggi Pusat adalah untuk menubuhkan sebuah pasukan yang dinamik demi mengorak hala tuju baru untuk menghadapi cabaran-cabaran baru pasca PRU13.

DAP dan juga Pakatan Rakyat Kedah kini berkongsi matlamat, iaitu untuk berganding bahu dan bersama-sama memimpin kembali kerajaan negeri Kedah serta memacu kemenangan besar di peringkat Persekutuan. Namun hasrat itu tidak mudah dicapai, dan memerlukan komitmen serta strategi yang mampu menarik minat golongan kritikal seperti anak muda, wanita dan mereka yang terpinggir baik dari segi ekonomi mahupun sosial.

Justeru, saya melihat masa depan adalah dengan anak muda. Pun begitu, pasukan yang cemerlang haruslah seimbang dari segi pengalaman dan dinamisme. Oleh itu, saya memilih ahli-ahli jawatankuasa daripada kalangan anak muda, mereka yang berpengalaman, termasuk daripada bidang profesional. Pada masa yang sama, buat sementara ini saya juga melantik beberapa pemimpin dari luar negeri Kedah bagi membantu memantapkan lagi organisasi dan jentera DAP Kedah.

Dalam jangka masa terdekat, tumpuan kami adalah untuk membina keahlian serta menambah jumlah cawangan bagi memperluaskan pengaruh parti di kawasan-kawasan di luar Alor Setar seperti Gurun dan Sungai Petani.

Saya percaya sekiranya DAP Kedah berjaya menggembleng usaha dan menggerakkan jentera parti dengan mantap, maka Pakatan Rakyat Kedah juga akan diperkukuhkan. Oleh itu, saya menyeru agar semua ahli-ahli DAP Kedah serta para penyokong DAP dan Pakatan Rakyat di negeri ini dapat sama-sama bermuafakat untuk membina kembali kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah.

Zairil Khir Johari
Pengerusi Interim DAP Kedah
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan
Ahli Parlimen Bukit Bendera

Senarai Jawatankuasa Interim Negeri DAP Kedah
Pengerusi Sdr Zairil Khir Johari
Tim. Pengerusi Sdr Steven Sim Chee Keong
Naib Pengerusi Sdr Syed Araniri
Naib Pengerusi Sdri Lok Saw Mee
Naib Pengerusi Sdr Karuna
Setiausaha Sdr KB Teoh
Pen. Setiausaha Sdr Soon Peng Lim
Bendahari Sdr Por Lee Tee
Set. Organisasi Sdr Teh Seng Teik
Pen. Set. Organisasi Sdr Yong Peng Sin
Set. Publisiti Sdr Dr Lim Sin Keat
Pen. Set. Publisiti Sdr Vincent Chee
Pengarah Pendidikan Politik Sdr Tan Kok Yew
Ahli Jawatankuasa Sdr Vincent Wu
Ahli Jawatankuasa Sdr Thomas Su
Ahli Jawatankuasa Sdri Ooi Sow Ching