NB: This speech was delivered during the debate on the motion of thanks for the Royal Address in Parliament on 2 July 2013.

Pertama-tamanya, izinkan saya menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena pembukaan Penggal Parlimen ke-13 pada hari Selasa yang lepas. Saya berasa amat bersyukur kerana buat julung kali diberi peluang untuk mewakili rakyat Bukit Bendera di dewan yang mulia ini. Pada masa yang sama, saya juga amat bangga kerana dapat meneruskan warisan perjuangan arwah ayahanda saya demi negara tercinta.

Institusi pengajian tinggi

Tuan Yang Dipertua,

Saya menyambut baik titah Tuanku yang dengan jelas memberi penekanan yang besar kepada isu yang amat penting, iaitu soal pendidikan dan pembangunan modal insan di negara kita. Jelas, kita perlu memberi keprihatinan yang wajar untuk memastikan peningkatan kualiti Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

Menurut Program Transformasi Ekonomi (ETP), menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi hab pendidikan serantau dengan anggaran enrolmen pelajar asing di IPTA dan IPTS seramai 200,000 orang. Dianggarkan pula 50 peratus rakyat Malaysia lulusan SPM dan SPMV yang berada dalam kalangan usia 17–23 tahun akan menyertai peringkat pengajian tinggi, sementara 33 peratus daripada tenaga kerja akan berkelayakan pendidikan tinggi khususnya dalam bidang yang berkait dengan sains dan teknologi.

Maka jelas sekali, pengajian tinggi memainkan peranan kritikal dalam pembangunan negara. Malangnya, dalam keghairahan Kementerian Pendidikan menggunakan istilah tranformasi dan pengantarabangsaan, statistik prestasi IPTA dan IPTS negara kelihatan indah khabar daripada rupa.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengumumkan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang sebagai perintis program Accelerated Programme for Excellence (APEX) yang menyasarkan untuk menjadikan USM antara universiti terbaik di dunia. Pun begitu, berdasarkan QS World University Rankings semenjak tahun 2007, kedudukan USM terus merosot daripada 307 pada tahun 2007 kepada 326 pada tahun 2012. Malah, USM dan semua universiti di Malaysia gagal tersenarai dalam 400 universiti terbaik di dunia berdasarkan penarafan Times Higher Education (THE) sesi 2011/2012. Semakan QS University Rankings: Asia – 2012 pula menunjukkan hanya Universiti Malaya yang disenaraikan antara 50 universiti terbaik di Asia (tangga ke-35).

Adakah ini hasil program Universiti Apex? Apakah Kementerian Pendidikan akan terus berselindung di sebalik alasan perbezaan antara sistem yang digunakan dalam negara kita dengan sistem penarafan dan kriteria penilaian universiti di peringkat antarabangsa?

Yang jelas, sistem pengajian tinggi dan lingkungan akademia yang sedia ada tidak mampu untuk menghasilkan pensyarah dan mahasiswa bertaraf antarabangsa. Manakan bisa, sedangkan golongan akademia dan mahasiswa kini ditindas dan dikongkong dengan ketat?

Kita harus sedar bahawa yang menjadikan sebuah universiti itu hebat adalah modal insannya dan bukan sekadar nombor ISO-nya. Kita sekarang dalam kemelut kerana universiti-universiti kita hanya berfungsi sebagai kilang ijazah serta “agensi pelawat asing bertauliah” yang membawa masuk warga asing yang kononya datang belajar tetapi sebenarnya tidak. Malah ada di antara mereka yang menjadi dalang tipu helah yang memangsakan rakyat Malaysia. Dalam menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa, kita perlu menggalakkan “brain gain” dan bukan “con-game”.

Maka, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini untuk memikirkan semula cadangan agar warga akademik (termasuk mahasiswa) diberikan suara yang lebih dominan dalam pemilihan jawatan Naib Canselor sebagaimana yang diamalkan oleh banyak universiti yang terkemuka di dunia. Tujuannya adalah untuk menangkis persepsi bahawa perlantikan Naib Canselor dibuat berdasarkan kecenderungan politik dan bukannya kemampuan pentadbiran, ketinggian kesarjanaan, serta jaringan akademik antarabangsa.

Berkenaan isu IPTS pula, saya menyambut baik tindakan Kementerian Pendidikan (ketika itu Kementerian Pengajian Tinggi) melaksanakan moratorium atau pembekuan terhadap permohonan baru IPTS pada awal tahun ini. Namun, saya begitu khuatir dengan kualiti serta pemantauan IPTS sedia ada. Berdasarkan statistik, sehingga 30 November 2012, terdapat 37 buah universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan sebanyak 414 kolej swasta di negara ini. Menteri bertanggungjawab ketika itu, Dato’ Seri Khaled Nordin sendiri mengakui bahawa terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa jumlah graduan yang dikeluarkan oleh IPT adalah melebihi kehendak pasaran.

Lambakan siswazah daripada kolej swasta ini berlaku kerana orientasi pengajian tinggi swasta yang berteraskan keuntungan dan mengabaikan kualiti. Hal ini terbukti apabila Kementerian sendiri terpaksa menarik balik beberapa kelulusan kolej swasta yang meragukan.

Sudah tentu, fenomena lambakan siswazah daripada kolej swasta ini adalah kerana penyalahgunaan skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Akibatnya, ramai pelajar dengan keputusan paling minimum (lulus SPM dengan 1 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan 3 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus diploma) diterima masuk sementara pinjaman PTPTN mereka diuruskan terus oleh pihak kolej.

Jelas, PTPTN digunakan untuk membolehkan pihak berkepentingan untuk menjadikan pengajian tinggi sebagai suatu perniagaan mengaut keuntungan semata-mata. Apa tidaknya, apabila semua program di kolej swasta yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus layak mendapat PTPTN. Jadi, PTPTN ini sebenarnya membantu kolej swasta dan bukan mahasiswa. Daripada mempertingkatkan persaingan dan kecemerlangan, sistem ini menggalakkan kronisme dan mediokriti.

Kenyataan ini disokong dengan statistik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan) yang menunjukkan bahawa bilangan staf akademik IPTS pada tahun 2010 yang berkelulusan PhD hanyalah 2,449 orang. Kebanyakan staf akademik IPTS terdiri daripada lulusan Sarjana (14,344 orang), Sarjana Muda (11,228 orang), Diploma (1,271 orang) dan lain-lain kelulusan (3,700). Saya yakin, jika perangkaan ini diperincikan lagi untuk kolej swasta, bilangan lulusan Sarjana dan PhD akan lebih jauh berkurang. Persoalannya, apakah bilangan tenaga pengajar ini memadai untuk menjamin pendidikan tinggi berkualiti untuk 465,700 orang pelajar yang mendaftar dengan IPTS seluruh negara pada tahun yang sama?

Saya benar-benar khuatir akan masa depan anak bangsa Malaysia yang terpaksa memikul bukan sahaja beban hutang PTPTN tetapi seumpama ditipu dengan janji manis, iaitu ijazah yang sebenarnya tidak laku. Bayangkan, mimpi indah mahasiswa berkecai dan ditambah pula dengan hutang yang tidak mampu dibayar.

Saya menggesa agar kerajaan mempertimbangkan cadangan menstrukturkan semula pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan skim PTPTN dan diganti dengan pendidikan percuma. Namun, tindakan ini mesti disusuli dengan usaha membaiki prestasi dan kualiti IPT agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja berada dalam IPTA, manakala mereka yang berkemampuan boleh memilih untuk ke IPTS yang dijamin kualitinya.

Sehubungan dengan itu, antara langkah kritikal yang harus diambil oleh kerajaan adalah untuk mengembalikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada IPTA dan IPTS serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), seperti yang pernah dinikmati oleh universiti-universiti sehingga tahun 1971.

Sebelum itu, pada zaman 60-an, demonstrasi dan bantahan terhadap Kerajaan dan Menteri Pelajaran adalah lumrah kehidupan mahasiswa, malah sering dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang sendiri, namun mahasiswa tidak dikenakan tindakan sehinggalah penggubalan undang-undang drakonian oleh Menteri Pelajaran yang kemudiannya. Hari ini, kongkongan akademia dan pemangsaan mahasiswa masih lagi berterusan melalui AUKU dan undang-undang yang seangkatan dengannya.

Oleh itu, alam pengajian tinggi harus dibebaskan dan dikembalikan ke suasana pra-1971 di mana para ilmuan menikmati kebebasan akademia, sisa-siswi diberi ruang untuk meluahkan buah fikiran mereka, dan di mana Kementerian diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang jauh lebih berwibawa berbanding yang ada sekarang.

Pendidikan rendah dan menengah

Tuan Yang Dipertua,

Cabaran pendidikan di negara kita jelas bukan hanya di peringkat pengajian tinggi semata-mata, malah akar permasalahannya bertunas daripada peringkat sekolah lagi. Kini, setelah sekian lama pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kita masih lagi jauh daripada mencapai matlamat pertamanya, iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.

Jurang kaum antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan semakin melebar. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, jumlah pelajar Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) meningkat daripada 92 peratus pada tahun 2000 kepada 96 peratus pada tahun 2011. Begitu juga dengan pelajar daripada etnik India ke sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), daripada 47 peratus kepada 56 peratus. Jika dibandingkan dengan tahun 1972, kegagalan sekolah kebangsaan sebagai agen pembinaan bangsa Malaysia lebih terserlah. Pada tahun tersebut, peratus pelajar Cina dalam SJKC tidak begitu tinggi, iaitu hanya 75 peratus, sementara yang lain telah memilih sekolah kebangsaan.

Hari ini, sekolah kebangsaan sudah seakan-akan menjadi sekolah mono-etnik dengan pendaftaran hanya 6 peratus bukan Bumiputera, berbanding 13 peratus pelajar bukan Cina yang mendaftar dalam SJKC. Bayangkan betapa teruknya keadaan sekolah kebangsaan apabila SJKC mempunyai demografi yang lebih pelbagai. Hal ini pasti kerana kebanyakan ibu bapa telah hilang keyakinan dengan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan.

Tambah mendukacitakan adalah rekod pencapaian pelajar kita dalam program-program penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) yang dianjurkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Fokus kajian ini adalah untuk menguji kesediaan pelajar sekolah untuk memasuki alam dewasa dan melibatkan pelajar berumur 15 tahun dengan 3 domain utama – Matematik, Sains dan Bacaan.

Keputusan PISA tahun 2009 sangat menghampakan, di mana Malaysia berada pada kedudukan ke-57 (daripada 75 negara) untuk pencapaian Matematik, ke-52 untuk Sains dan ke-55 untuk Bacaan. Sebagai bandingan, Shanghai mencatatkan keputusan kedudukan pertama untuk ketiga-tiga domain manakala Singapura berada pada kedudukan kedua untuk Matematik, keempat untuk Sains dan kelima untuk Bacaan. Kedudukan Malaysia dalam PISA 2009 membuktikan bahawa:

  1. Malaysia berada dalam kelompok 20 negara tercorot bersama-sama dengan negara seperti Montenegro, Kazakhstan, Jordan dan Indonesia;
  2. Kedudukan Malaysia lebih rendah daripada Thailand dalam ketiga-tiga domain;
  3. Skor purata Malaysia adalah lebih rendah daripada skor purata negara OECD dan antarabangsa;
  4. Sehingga 60 peratus pelajar Malaysia gagal mencapai tahap minimum untuk mengambil bahagian dalam kehidupan secara efektif dan produktif.

Sementara itu, pelajar-pelajar yang sama, iaitu pelajar berumur 15 tahun, telah mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun yang sama. Bilangan calon PMR yang mendapat gred A dalam semua subjek meningkat 1,810 orang kepada 28,188 orang berbanding hanya 26,378 orang pada tahun 2008.

Sekali lagi, ketidakselarian berlaku antara penilaian antarabangsa dengan penilaian dalaman. Saya kira, masa sudah tiba untuk penstrukturan semula yang ketara dalam dasar dan sistem pendidikan negara kita. Pun begitu, perubahan tidak boleh sekadar infrastruktur dan tatacara pendidikan, tetapi harus lebih mendalam dan meliputi latihan, insentif dan skop tugas guru serta rombakan kurikulum agar menghasilkan pelajar yang berupaya untuk berfikir dan bukan hanya menjawab soalan peperiksaan tempatan.

Pembangunan anak muda

Tuan Yang Dipertua,

Dalam soal pembangunan modal insan, titah Tuanku juga menyentuh tentang pembangunan belia termasuklah melalui usaha kerajaan mengarusperdanakan program kesukarelawanan yang diterajui 1Malaysia For Youth. Namun, saya masih tidak jelas mengenai 1Malaysia For Youth ini. Adakah ianya semata-mata penjenamaan semula program Rakan Muda yang ditubuhkan pada tahun 1994 dahulu yang kini tidak diketahui statusnya – masih aktif atau telah berkubur tanpa nisan?

Selain itu, saya juga berharap agar anak-anak muda benar-benar dilibatkan dalam pertubuhan belia ini, termasuk di peringkat pentadbiran dan pengurusan, dan tidak hanya dijadikan sebagai pemenuh majlis parti pemerintah dan tukang kibar sepanduk “I love PM” yang diberi secara percuma.

Kekhuatiran saya ini ada asasnya, kerana kebanyakan pertubuhan belia daripada segi pengurusan dan pentadbirannya dimonopoli oleh ahli politik. Ambil sebagai contoh, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang mendakwa memainkan peranan besar dalam perencanaan, pemantauan, pelaksanaan dan penilaian dalam menentukan hala tuju pembangunan anak muda negara. Berdasarkan Perlembagaan MPBN, komposisi anggota Majlis sangat didominasi oleh Menteri dan pegawai tinggi kerajaan sebagaimana berikut:

  1. Menteri sebagai Pengerusi;
  2. Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia;
  3. Ketua Pengarah;
  4. Seorang wakil setiap Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal belia;
  5. Seorang wakil daripada Kementerian yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan;
  6. Tidak lebih daripada 10 orang wakil daripada agensi kerajaan yang mengendalikan hal ehwal belia yang ditentukan oleh Menteri;
  7. Tidak lebih daripada 25 orang pegawai Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia yang dilantik oleh Menteri;
  8. Semua Anggota Dewan Tertinggi dan Anggota Jawatankuasa Kerja badan induk  pertubuhan belia di peringkat kebangsaan; dan
  9. Tidak lebih daripada 20 orang yang pada pendapat Menteri boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan belia.

Semakan bagi senarai keahlian MPBN Penggal XXVI Tahun 2007 – 2008 mendapati, bagi wakil setiap kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia hampir kesemuanya adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri masing-masing. Wakil bagi kementerian yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan pula diwakili sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Zulhasnan Rafique. 10 orang wakil dari agensi kerajaan yang mengendalikan hal ehwal belia pula terdiri daripada Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Kementerian dan Jabatan berkaitan. Bagi senarai 20 orang yang pada pendapat Menteri boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan belia, hampir kesemua mereka merupakan Ahli Parlimen atau pimpinan Barisan Nasional.

Jelas, dalam struktur pentadbiran dan pengurusan, perwakilan belia yang tulen amat kurang dan penglibatan berlebihan ahli politik dikhuatiri akan membantutkan agenda pembinaan belia yang lebih mandiri dan sebaliknya menjadikan belia sebagai petugas politik murahan parti pemerintah semata-mata.

Tuan Yang Dipertua,

Pembangunan modal insan di negara kita adalah isu yang wajar diberi tumpuan nasional. Jika persaingan antarabangsa pada abad ke-20 adalah bertumpu kepada sumber asli, persaingan baru pada abad ke-21 akan bertumpu kepada sumber manusia. Dengan kata lain, kejayaan sesebuah negara akan bergantung kepada keupayaannya untuk membina, menarik dan mengekalkan modal insan yang berdaya saing.

Malangnya, terdapat pelbagai kepincangan dalam sistem penjanaan modal insan di negara kita, bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pengajian tinggi. Anak-anak muda kita tidak digalakkan untuk berfikir dan sebaliknya dipupuk menjadi pak turut semata-mata. Dasar pendidikan negara pula dijadikan mainan politik seperti ketidaktentuan kerajaan dalam dasar PPSMI yang telah menjejaskan satu generasi pelajar. Tambahan pula, segala jenis kongkongan dan sekatan dikenakan demi menghalang ancaman kepada pemerintah, sementara daya saingan graduan-graduan kita digadai.

Jelas, sistem pendidikan kita perlu dibebaskan daripada cengkaman politik dan gagasan yang dangkal. Ini harus dicerminkan dalam perancangan akan datang, termasuk dalam laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sehingga kini belum dilancarkan walaupun enam daripada 100 inisiatif telah dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

Izinkan saya berakhir dengan memetik kata-kata Rendra dalam puisinya:

Seseorang berhak diberi ijasah dokter,

Dianggap sebagai orang terpelajar,

Tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan.

Dan bila ada tirani merajalela,

Ia diam tidak bicara,

Kerjanya cuma menyuntik saja.

Bagaimana? Apakah kita akan terus diam saja?

Mahasiswa-mahasiswa ilmu hukum dianggap sebagai bendera-bendera upacara,

Sementar hukum dikhianati berulang kali.

Sekian, terima kasih.

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera