NB: This press statement was released on 31 July 2013 in Kuala Lumpur.

Setiap tahun kita mengambil tarikh 31 Julai untuk memperingati perjuangan pasukan keselamatan negara kita yang sentiasa setia mempertahankan kedaulatan negara. Hakikatnya, merekalah yang sentiasa waspada dan siap siaga di persempadanan negara dan di seluruh pelusuk kota serta desa bagi memastikan kita dapat tidur lena setiap malam tanpa sekelumit pun rasa terancam. Sesungguhnya, semua anak bangsa Malaysia terhutang budi dengan pahlawan negara kita.

Justeru, adalah menjadi harapan kita agar martabat pasukan keselamatan negara terpelihara dengan memastikan integriti dan profesionalisme institusi-institusi ini tidak dinodai. Sudah tentu, kita tidak mahu segala pengorbanan dan keringat para kesatria kita disia-siakan dengan skandal penyelewengan, korupsi atau salah guna kuasa dalam organisasi terbabit.

Malangnya, mutakhir ini kes-kes keganasan senjata api dan kematian dalam tahanan makin kerap berlaku. Pada tahun ini sahaja, sudah berlaku 12 kes kematian dalam tahanan sementara empat bulan yang terakhir telah menampakkan 13 kes keganasan senjata api. Dalam masa seminggu ini, empat kes tembakan telah dilaporkan, termasuk pembunuhan pengasas Bank Arab-Malaysian di Kuala Lumpur serta cubaan bunuh ke atas pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan, yang ditembak di Seremban. Dua lagi kes tembakan berlaku di Ipoh dan Bukit Mertajam.

Bagai barah yang makin menular, keadaan sudah mencapai tahap yang parah sehingga mengakibatkan kehilangan kepercayaan awam yang ketara, khususnya terhadap Polis Diraja Malaysia. Justeru, hanya tinggal satu jalan sahaja untuk menangkis persepsi negatif ini, iaitu dengan pelaksanaan segala cadangan yang disaran dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005, termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Tanpa pelaksanaan penuh cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja tersebut, tahap profesionalisme dan kebebasan institusi polis daripada campur tangan politik akan terus dipersoalkan. Ini sekaligus akan menghampakan segala usaha untuk membersihkan persepsi awam terhadap polis.

Oleh itu, sempena sambutan Hari Pahlawan 2013, saya berharap agar pihak Kerajaan dapat membaharui azam dan iltizam mereka untuk memartabatkan kembali pasukan keselamatan negara di mata masyarakat.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua pahlawan negara, semoga mereka yang terkorban mempertahankan maruah dan kedaulatan negara ini dirahmati dan diberikan kedudukan yang baik di sisi Tuhan. Al-fatihah buat mereka yang telah tiada dan salam perjuangan kepada anggota lain pasukan keselamatan yang sentiasa setia berbakti. Selamat Hari Pahlawan 2013.

Zairil Khir JohariAhli Parlimen Bukit Bendera