NB: This press statement was released on 17 August 2013 in Kuala Lumpur.

Saya menyambut baik keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC. Pada detik yang amat genting ini, di mana kewujudan parti diancam oleh sebuah rejim yang lantang menyalahgunakan kuasa, pucuk pimpinan parti tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk bertindak sedemikian bagi mengelak pembatalan pendaftaran parti.

Sebagai ahli CEC yang telah mengambil bahagian dalam mesyuarat tergempar pada 14 Ogos 2013, saya ingin menyatakan betapa berat dan sukarnya keputusan tersebut dibuat. Siapalah yang dapat menyangka bahawa kami akan dihukum dan dimangsakan dengan sewenang-wenangnya walaupun tidak bersalah.

Seperti yang sudah diterangkan, CEC telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula demi mengelak kemungkinan pembatalan pendaftaran parti, dan bukan sebagai pengakuan seperti yang didakwa beberapa pihak. Segala tuduhan liar termasuk dakwaan 753 orang perwakilan yang kononnya dinafikan hak untuk mengundi, 547 orang “perwakilan hantu” , serta kewujudan “Father Augustus Chen” tidak pernah dibuktikan dan merupakan rekaan jahat musuh politik DAP semata-mata.

Tambahan pula, sehingga ke hari ini, pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum memberi sebarang sebab atau penjelasan untuk mewajarkan tindakan yang diambil, di samping gagal menunjukkan peruntukan manakah dalam Akta Pertubuhan 1966 yang memberikan kuasa untuk menghukum DAP dengan tindakan sedemikian. Malah, Pendaftar Pertubuhan Dato’ Abdul Rahman Othman juga enggan bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang telah berkali-kali menuntut penjelasan daripada pihak ROS.

Permintaan DAP kepada ROS dari permulaan sehingga ke sekarang adalah mudah dan munasabah – sekiranya benar DAP bersalah, buktikan sahaja!

Hakikatnya, DAP tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang, termasuk Akta Pertubuhan 1966. Kesilapan teknikal yang berlaku semasa pengumumuman keputusan pemilihan pada bulan Disember 2012 telah pun diperbetulkan. Selain daripada kesilapan yang tidak sengaja itu, seluruh proses pemilihan telah dijalankan secara teratur dan bersih. Malah, keputusan yang sebenar sudah pun diperakui oleh sebuah firma akauntan yang telah diminta untuk menyemak semula undian yang dibuat.

Pun begitu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menawarkan diri saya sekali lagi sebagai calon CEC. Biar bagaimana pun pilihan para perwakilan, saya tetap akan menerima dan akur dengan keputusannya. Harapan saya cumalah satu, iaitu agar para perwakilan akan memilih calon-calon yang terbaik berdasarkan kebolehan, keupayaan dan rekod prestasi mereka. Sesiapa pun yang berjaya, biar prinsip ini dikekalkan.

Semoga DAP kekal berjuang demi masa depan Malaysia yang lebih demokratik, adil dan sejahtera.

Zairil Khir Johari

Ahli Parlimen Bukit Bendera