NB: This press statement was released on 23 September 2013 in Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa semua Adun negeri tersebut, termasuk Adun pembangkang, akan diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil. 10 orang Adun pembangkang daripada Umno akan diberi peruntukan sebanyak RM40,000 bagi tujuan tersebut mulai 2014.

Tindakan tersebut jelas merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk mewujudkan sebuah demokrasi yang matang di negara kita. Ia sekaligus juga membuktikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bermain politik dan sebaliknya serius dalam usaha pendamaian nasional yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan Persekutuan.

Usaha ini patut dicontohi setiap kerajaan negeri di Malaysia dan sudah tentu sekali oleh kerajaan Persekutuan. Pada tahun ini, sejumlah RM185.5 juta telah diperuntukkan kepada semua 222 kawasan parlimen. Jumlah ini bersamaan dengan lebih kurang RM835,000 setiap kawasan. Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak diberi kuasa untuk mengurus ataupun meluluskan sebarang projek menggunakan peruntukan tersebut.

Jelas, tindakan ini merupakan diskriminasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang dan pencabulan terhadap prinsip demokrasi. Ia juga boleh dilihat sebagai menghina rakyat di kawasan-kawasan pembangkang.

Justeru, kami menggesa kerajaan Persekutuan terutamanya Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dan memberikan peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen pembangkang agar kami dapat melaksanakan kewajiban kami sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah.

Kami juga berharap Perdana Menteri akan mengambil peluang ini untuk bertindak secara berhemah dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi mencapai kematangan proses demokrasi di negara kita.

Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam 

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera