NB: This press statement was released on 26 September 2013 in Alor Setar.

Bagi pihak DAP Kedah, saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak atas pemergian Allahyarham yang cukup selesa dan rendah diri dengan panggilan mesra, Ustaz Azizan. Demikianlah janji Tuhan, tiada yang dapat menundanya mahupun mempercepatkannya barang sesaat juga.

Allahyarham Ustaz Azizan bukan sahaja tokoh pemimpin politik yang dihormati, malahan juga seorang pemimpin agama serta bekas ahli akademik yang disegani. Sesungguhnya, negeri Kedah telah kehilangan seorang pemimpin yang memiliki keperibadian unggul dalam banyak bidang – siasah, akademik, dan agama – yang amat sukar dicari ganti.

DAP Kedah juga ingin menyatakan rasa berbesar hati kerana dapat berkhidmat bersama Allahyarham Ustaz Azizan yang senantiasa tegas dalam komitmennya untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri Kedah.

Meskipun kepimpinan Allahyarham di Kedah hanya sepenggal, namun dalam tempoh itu Allahyarham telah menunjukkan tauladan pentadbiran yang telus dan amanah. Semoga usaha, jasa, pengorbanan dan kerja keras Allahyarham dirahmati Allah.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera