NB: This press statement was released on 26 September 2013 in Kuala Lumpur.

Kami berasa amat hairan membaca maklumbalas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pendedahan bahawa syarikat perunding McKinsey & Co telah dibayar RM20 juta untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut laporan media, beliau dipetik sebagai berkata, “Saya percaya itu satu kadar yang berpatutan sebenar pasal dalam mana-mana usaha yang kita buat pun, kita memerlukan beberapa pihak yang agak lebih pakar membantu.”[1]

Sememangnya kami tidak menafikan bahawa pandangan, pendapat dan analisa daripada pakar, khususnya pakar pendidikan, adalah diperlukan. Namun begitu, kami mempertikaikan mengapa perunding bukan pakar pendidikan telah dilantik sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar yang mampu melaksanakan tugas tersebut.

Sebagai contoh, laporan akhir PPPM sendiri telah menyenaraikan sumbangan daripada pakar-pakar tempatan, termasuk kajian oleh enam buah universiti awam tempatan, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Penguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT).

Malah, Kementerian Pendidikan juga telah memperolehi khidmat nasihat antarabangsa daripada pakar-pakar seperti Unesco, yang telah menyediakan laporan terperinci mengenai pembangunan kurikulum, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, pendidikan guru, latihan dan pendidikan teknik dan vokasional; serta peperiksaan dan pentaksiran murid.

Selain itu, Bank Dunia (World Bank) juga telah menjalankan kajian menyeluruh ke atas perbelanjaan awam (Public Expenditure Review) termasuk sektor pendidikan pada tahun 2011. Pada masa yang sama, Panel Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin juga telah menyediakan laporan hasil daripada mesyuarat-mesyuarat Townhall yang telah diadakan di 14 negeri.

Pemandu pula melaksanakan Makmal Pendidikan dengan sokongan pasukan NKRA Pendidikan. Makmal tersebut diketuai oleh pakar-pakar tempatan daripada Kementerian Pendidikan termasuk daripada Institut Aminuddin Baki.

Di samping itu, Panel Penilai Bebas Malaysia juga telah ditubuhkan di bawah pimpinan Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak. Panel Penilai Bebas Antarabangsa pula telah ditubuhkan dengan keanggotaan pakar-pakar seperti Dr Andreas Schleicher (Ketua, Analisis dan Indikator, OECD), Dr Byong-Man Ahn (Mantan Menteri Pendidikan Korea Selatan), Prof Michael Fullan (Penasihat Khas kepada Premier dan Menteri Pendidikan Ontaria, Kanada) dan Prof Sing Kong Lee (Pengarah, Institut Pendidikan Kebangsaan, Singapura).

Ketersediaan khidmat nasihat pakar-pakar di atas adalah bukti bahawa Kementerian sudah mempunyai pakar pendidikan yang bukan sahaja mampu tetapi bertaraf antarabangsa. Justeru, mengapa perlunya Kementerian melantik perunding McKinsey dengan jumlah RM20 juta? Adakah ini “berpatutan”?

Tambahan pula, sumbangan sebenar McKinsey – yang bukan pakar dalam bidang pendidikan – adalah tidak jelas kerana tidak disenaraikan langsung dalam laporan PPPM. Jika McKinsey tidak menyumbang dari segi input, adakah peranan mereka itu hanya sekadar menulis laporan sahaja?

Tampaknya, jelas bahawa khidmat perunding McKinsey adalah tidak perlu, bukan sahaja dari segi input malah dari segi penyediaan laporan. Ini kerana Kerajaan mempunyai pelbagai jabatan dan agensi yang tidak kurang kemampuannya, seperti pasukan NKRA dan NKEA Pendidikan (Pemandu), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan atau EPRD (Education Planning and Research Division), serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) yang ditubuhkan pada bulan April 2012.

Apakah Menteri tidak mempunyai keyakinan pada pakar-pakar dan pegawai-pegawai sendiri untuk menjalankan tugas mereka?

Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera