NB: This article was originally published in Roketkini.com.

Ketika Dato’ Sri Najib Razak awal-awal menjadi Perdana Menteri, beliau menjanjikan perpaduan nasional melalui kempen 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru (MEB). Dasar ekonomi yang diuar-uarkan ini dikatakan akan mengambil pendekatan tindakan afirmatif berasaskan keperluan, yakni kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah tanpa mengira kaum.

Usaha ini menandakan pemisahan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini yang berasaskan kaum. Dengan anjakan paradigma ini, Najib mengisyaratkan bahawa pembangunan ekonomi negara pada masa depan akan bertunjangkan prinsip keterangkuman sosial, di mana setiap rakyat Malaysia akan dihitungkan, khususnya mereka yang paling memerlukan bantuan.

Malangnya, janji-janji Najib semua sudah terbatal. Konsep 1Malaysia kini menjadi tidak lebih daripada jenama bagi kedai runcit subsidi, klinik bergerak, skim perumahan mampu milik, menu makanan bajet, serta peruncit tekstil dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, MEB pula jelas dipinggirkan oleh NEB versi baru yang dinamakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB).

Dasar PEB yang baru dilancarkan ini melibatkan pelbagai inisiatif berasaskan kaum, termasuk pembentukan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, penubuhan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian, jaminan bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama akan meningkatkan penyertaan vendor Bumiputera, serta pelancaran 10 bilion unit saham baru Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sementara MEB menawarkan liberalisasi pasaran dan tindakan afirmatif berasaskan keperluan yang akan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, PEB pula seolah-olah usaha untuk mengembalikan DEB yang telah terbukti gagal membela golongan Melayu miskin, tetapi sebaliknya lebih memanfaatkan golongan kapitalis Melayu yang mempunyai hubungan akrab dengan parti pemerintah.

Hakikat ini adalah jelas apabila kita pertimbangkan perangkaan yang menunjukkan bahawa setelah empat dekad bantuan yang kononnya disasarkan kepada Bumiputera, masih terdapat 40 peratus isi rumah Bumiputera yang hidup dengan pendapatan bulanan RM1,686 secara purata. Pada masa yang sama, si kaya yang mempunyai hubungan politik mampu untuk membeli rumah banglo RM7 juta dengan begitu sahaja.

Justeru, cadangan pelancaran 10 bilion unit ASB2 adalah sangat meragukan. Siapakah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada saham ASB tambahan yang bakal disediakan? Adakah kumpulan 40 peratus isi rumah Bumiputera terendah dapat melabur dalam saham-saham yang berhasil tinggi ini sedangkan pendapatan mereka hanya cukup makan dan pakai?

Menurut laporan tahunan PNB, pelaburan purata pelabur Bumiputera adalah RM14,097 seorang pada akhir tahun 2012. Sekali pandang, angka ini tampak menunjukkan bahawa ramai orang Melayu sudah mencapai kadar simpanan yang agak selesa.

Walau bagaimanapun, apabila laporan ini diperhalusi, angka ini benar-benar mengelirukan. Setelah dicerakinkan, didapati bahawa 74 peratus atau hampir tiga perempat pelabur Amanah Saham Bumiputera sebenarnya mempunyai pelaburan purata hanya RM611 setiap seorang. Angka ini jauh berbeza dengan purata keseluruhan pelabur dan lebih mencerminkan realiti rakyat.

Dalam erti kata lain, hanya golongan pelabur elit Bumiputera yang mampu melabur dengan jumlah yang ketara, sementara majoriti pelabur Bumiputera yang lain ternyata tidak mampu menikmati tawaran saham ini. Oleh itu, bagaimanakah mungkin langkah Kerajaan untuk menyediakan lebih banyak unit ASB dapat memberi manfaat kepada Bumiputera kebanyakan?

Malah, satu kajian oleh pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid mendapati bahawa perbezaan kekayaan antara pelabur ASB adalah sangat mencolok, di mana 0.1 peratus teratas pelabur Bumiputera mempunyai portfolio terkumpul yang bernilai 1,526 kali lebih banyak berbanding gabungan 80 peratus pemegang saham terbawah. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa kumpulan elit Bumiputera ini juga yang akhirnya akan mendapat manfaat daripada tambahan 10 bilion unit ASB2, dan bukannya Melayu biasa yang sekadar mampu untuk melabur sebanyak RM611.

Maka, persoalannya – untuk siapakah ASB2 ini sebenarnya? Pastinya bukan untuk Bumiputera kebanyakan.