NB: This speech was delivered on 30 October 2013 in Parliament.

Pendidikan: Hasil yang tidak sepadan dengan pelaburan

Izinkan saya bermula dengan memetik Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai pedoman utama ucapan saya pada hari ini:

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.”[1]

Pada hemat saya, ini bermaksud bahawa dasar pendidikan negara seharusnya bertujuan untuk mencapai dua matlamat teras. Pertama, untuk menghasilkan modal insan terbaik yang berpengetahuan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kedua, untuk memastikan tiada anak Malaysia yang tercicir atau ketinggalan dari segi peluang pendidikan, selari dengan Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Justeru, apa pun keputusan yang ingin kita ambil, dasar yang ingin kita gubal dan tindakan yang ingin kita laksanakan harus berdasarkan dua matlamat teras pendidikan ini.

Tuan Yang Dipertua,

Saban tahun Kerajaan memperuntukkan sekitar 20 peratus belanjawan Persekutuan untuk tujuan pendidikan. Pola ini berterusan dalam Belanjawan 2014 yang baru dibentangkan Perdana Menteri, dengan peruntukan sebanyak RM54 bilion untuk Kementerian Pendidikan atau 21 peratus daripada keseluruhan belanjawan.

Ini menunjukkan Kerajaan meletakkan keutamaan yang besar terhadap pembangunan modal insan negara. Berdasarkan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), perbelanjaan awam Malaysia dalam pendidikan asas, dari prasekolah hingga menengah, sebagai peratusan KDNK, adalah melebihi dua kali ganda purata negara ASEAN (3.8 peratus berbanding 1.8 peratus), dan juga lebih tinggi daripada negara-negara Harimau Asia seperti Korea, Hong Kong, Jepun, dan Singapura. Malahan, perbelanjaan pendidikan di negara kita juga lebih tinggi daripada purata negara OECD (3.4 peratus).

Jika dibandingkan pula dengan negara-negara yang setara dari segi KDNK per kapita seperti Turki, Chile, Romania dan Mexico, Malaysia mempunyai perbelanjaan per murid yang lebih tinggi, iaitu USD1,808 setahun.

Tuan Yang Dipertua,

Walaupun jumlah yang dibelanjakan untuk pendidikan di negara kita adalah tinggi, persoalannya adalah, adakah perbelanjaan itu menghasilkan pulangan atas pelaburan ataupun ROI (return on investment) yang setimpal?

Malangnya, jawapan daripada laporan PPPM sendiri mengatakan tidak. Menurut laporan tersebut, prestasi Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara lain yang memperuntukkan perbelanjaan yang setara. Malah laporan tersebut juga mengakui bahawa “tahap perbelanjaan lebih tinggi tidak semestinya dikaitkan dengan keberhasilan lebih baik.”

Kegagalan ini dicerminkan dalam taraf kebolehupayaan murid kita apabila diukur bersama negara-negara lain. Ambil sebagai contoh kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Kali pertama anak-anak kita mengambil bahagian dalam kajian ini pada tahun 1999, skor purata murid negara kita telah mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Namun, sejak itu prestasi kita telah merudum sehingga ke kajian mutakhir pada tahun 2011 apabila negara kita mencatatkan penurunan yang paling ketara antara semua 59 negara yang dikaji. Daripada kedudukan no.16 bagi subjek Matematik pada tahun 1999, Malaysia telah jatuh ke no.26 pada tahun 2011, sementara subjek Sains pula menampakkan kejatuhan daripada no.22 kepada no.32 dalam jangka masa yang sama. Tambahan pula, 38 peratus murid kita telah gagal mencapai penanda aras minima dalam Matematik dan Sains. Kini, prestasi murid Malaysia berada di bawah purata antarabangsa – satu pola yang juga dicerminkan oleh kajian-kajian lain seperti Programme for International Student Assessment (PISA) yang dijalankan oleh OECD.

Punca kemerosotan prestasi pendidikan

Tuan Yang Dipertua,

Tidakkah ia menghairankan? Bagaimanakah prestasi murid kita boleh semakin merosot walaupun perbelanjaan pendidikan semakin meningkat? Jelas, hasil yang diperolehi adalah tidak setimpal dengan pelaburan yang dibuat. Malah, kenyataan ini sendiri diakui oleh Perdana Menteri semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013.

Namun, tidak sukar untuk kita memahami mengapa kritikan Perdana Menteri itu hanya setakat mengakui kelemahan sahaja dan tidak pula sanggup untuk menyenaraikan punca-puncanya, apatah lagi mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani kelemahan ini.

Maka yang demikian, saya akan membantu untuk merungkaikan punca-punca rendahnya prestasi murid di negara kita di sebalik pelaburan tinggi yang diperuntukkan setiap tahun.

Pertamanya, ketirisan dan pembaziran yang berlaku akibat ketidakcekapan pengurusan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun. Contohnya pelbagai, seperti dalam isu keselamatan di sekolah dan institusi pengajian. Walaupun RM2 bilion dibelanjakan, laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendapati kepincangan dalam pemantauan di pintu masuk dan keluar sekolah, di samping pengawal yang tidak mencukupi atau tidak menepati aspek kesihatan, kontrak keselamatan yang diluluskan oleh Kementerian tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan serta pembayaran kepada kontraktor yang tidak menunaikan tugas mereka.

Keduanya, tiada kajian yang menyeluruh sebelum sesuatu dasar dilaksanakan. Ini mengakibatkan dasar flip-flop dan pembaziran besar-besaran. Ingatkah lagi kita kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bukan sahaja gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid, malahan juga menyebabkan pencapaian Sains dan Matematik murid merosot berdasarkan penilaian antarabangsa.

Tambahan pula, PPSMI telah menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion, di mana dua pertiga daripada kos tersebut telah digunakan untuk pemerolehan perkakasan dan perisian. Apakah sudah terjadi dengan peralatan komputer berjumlah lebih RM2 bilion itu, memandangkan dasar PPSMI sudah pun ditamatkan?

Kini, Kerajaan ingin melaksanakan projek besar-besaran 1BestariNet yang akan melibatkan pemasangan jalur lebar berkelajuan tinggi 4G di kesemua 10,000 sekolah di Malaysia. Tujuan pemasangan internet di setiap sekolah ini adalah untuk membolehkan pelaksanaan Virtual Learning Environment (VLE) ataupun pelantar pembelajaran maya yang menyediakan akses kepada kelas maya, mata pelajaran maya, kerja sekolah dan sumber-sumber lain.

Pendekatan pembelajaran maya ini kononnya akan meningkatkan prestasi pendidikan murid kita, demi mencontohi negara seperti United Kingdom dan Korea Selatan. Namun, kita harus sedar bahawa sistem pendidikan di negara-negara tersebut sudah berada di tahap yang matang, di mana pembelajaran maya melalui VLE ini adalah langkah yang lazim, ataupun natural progression, manakala sistem pendidikan di negara kita masih lagi jauh keterbelakang.

Pun begitu, laporan daripada Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills (Ofsted), sebuah badan pemantau pendidikan di United Kingdom, mendapati bahawa teknologi ini tidak semestinya menghasilkan perkembangan murid yang memberangsangkan. Sebaliknya, kejayaan VLE sangat bergantung kepada sikap dan kemahiran guru yang mengendalikannya.

Oleh itu, kita berbalik kepada persoalan kebolehupayaan guru kita. Mampukah guru dan murid kita memanfaatkan penuh sistem yang canggih lagi mahal ini? Memandangkan dasar PPSMI telah gagal kerana guru kita tidak mempunyai asas penguasaan bahasa Inggeris yang kukuh, apakah jaminan Kerajaan bahawa tragedi PPSMI tidak akan berulang lagi?

Tambahan pula, semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, Menteri Pendidikan telah berjanji untuk membekalkan setiap murid di Malaysia dengan satu komputer riba menjelang tahun depan. Projek ini sekarang dikenali sebagai “1 Murid 1 Peranti.” Dengan jumlah 5.5 juta murid di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, apakah kos yang bakal dibelanja untuk memastikan setiap murid mempunyai satu peranti, dan apakah asas kepada dasar ini? Adakah ia perlu?

Daripada keghairahan untuk melaksanakan program 1BestariNet atau 1 Murid 1 Peranti dan sebagainya, saya mencadangkan adalah lebih baik Kementerian memberi tumpuan untuk memastikan satu sekolah mempunyai satu padang dan satu murid mempunyai satu meja. Biar perbelanjaan itu mengutamakan perkara yang asas terdahulu, daripada membazirkan wang dengan projek berbilion ringgit yang bakal terbengkalai menjadi gajah putih.

Masalah profesion perguruan

Tuan Yang Dipertua,

Sekali lagi, saya mempersoalkan sama ada perbelanjaan Kementerian betul-betul disasarkan kepada punca masalah. Saya percaya, faktor utama kemerosotan prestasi pendidikan di negara kita adalah kelemahan tenaga pengajar. Masalah ini pula bertunjang kepada kegagalan untuk menarik calon guru yang baik.

Mengikut laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), setiap tahun Kementerian Pendidikan menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion perguruan. Malangnya, hanya 7 peratus daripada pemohon bagi program latihan di IPG merupakan pelajar cemerlang yang mendapat 7A dan ke atas. Manakala, bagi kursus Perguruan Lepasan Ijazah pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul (CPGA) 3.50 dan ke atas.

Justeru, sasaran yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan II (Dato’ Seri Idris Jusoh) untuk menetapkan keputusan 7A sebagai syarat minima permohonan program perguruan di Semenanjung Malaysia adalah tidak realistik.

Pokoknya, kita harus memahami masalah ini dengan lebih mendalam. Berdasarkan Laporan RMK10, jelas profesion perguruan bukanlah pilihan calon cemerlang. Persoalannya, mengapa? Sudahkah Kementerian melakukan kajian berkenaan kegagalan untuk menarik pelajar cemerlang dalam profesion perguruan? Jika ya, apakah hasil kajian tersebut? Adakah profesion perguruan kini bukan menjadi pilihan kerana profesionalisme institusi pendidikan negara kita telah diabaikan? Adakah ia kerana sistem pendidikan negara sudah menjadi mangsa percaturan politik, di mana dasar pendidikan tampaknya digubal atas pertimbangan politik semata-mata?

Memperkasakan pengajian tinggo

Tuan Yang Dipertua,

Saya juga ingin menyentuh mengenai sektor pengajian tinggi di negara kita. Dalam ucapannya Jumaat lalu, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Kerajaan akan “memberi fokus memperkasakan institut pengajian tinggi… ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran kerja.”

Namun begitu, usaha paling asas dalam hal ini nampaknya tidak mahu dilaksanakan oleh Kerajaan. Sebaliknya, Kerajaan memilih jalan yang sukar serta membebankan dari segi kewangan dan birokrasi dengan memusatkan segala pentadbiran, termasuk pemilihan Naib Canselor di Putrajaya.

Pemusatan kuasa ini sudah tentu tidak akan menggalakkan pembangunan sektor pengajian tinggi yang sihat. Sebagaimana semua maklum, universiti sebagai medan pembentukan korpus ilmu seharusnya diberi autonomi dan ruang untuk membangun. Tanpa memahami dan menghormati prinsip paling dasar institusi keilmuan ini, segala usaha untuk memartabatkan ilmu di negara kita akan bertemu dengan kesukaran.

Sebagai contoh, kerajaan telah mengumumkan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti APEX yang menurut laman web rasmi Kementerian adalah bertujuan untuk mencapai status universiti bertaraf dunia. Namun begitu, berdasarkan QS World University Rankings 2013, kedudukan USM makin merosot dan berada di tangga ke-355 sekarang. Malah, ironinya, ranking USM telah menurun tahun demi tahun sejak penarafannya sebagai Universiti APEX.

Isu ini pernah saya bangkitkan dalam dewan yang mulia ini, tetapi jawapan yang saya terima menyatakan bahawa ranking sama ada QS World University Rankings mahupun Times Higher Education World University Rankings bukanlah indikator yang digunapakai oleh USM. Saya menyedari bahawa universiti tidak seharusnya berorientasikan ranking semata-mata, namun dari segi pemetikan antarabangsa (international citation) juga, prestasi USM tidak terlalu membanggakan. Lalu, apakah indikator sebenar universiti bertaraf dunia mengikut pandangan Kementerian?

Persoalan ini sangat penting kerana universiti di Malaysia bukan sahaja sukar untuk menarik minat pelajar terbaik rantau ini, malah kebanyakan pelajar tempatan yang mempunyai pilihan juga akan menyambung pelajaran di luar negara.

Lebih parah lagi, jika dahulu universiti tempatan boleh berbangga dengan kehadiran ramai ahli akademik bertaraf antarabangsa yang terhormat dalam bidang masing-masing seperti John Funston, Harold Crouch, Clive Kessler, James C Scott dan Arndt Graf, kini amat sedikit yang masih kekal di universiti tempatan. Malahan, ahli akademik tempatan yang mempunyai reputasi hebat seperti KS Jomo, Azly Rahman, Syed Farid Alatas, Wang Gung Wu dan Johan Saravanamuttu telah memilih untuk berkhidmat di luar negara. Justeru, gejala brain drain berlaku bukan sahaja dalam kalangan anak-anak muda kita, tetapi juga para pemikir negara kita.

Pendekatan pendidikan yang holistik

Tuan Yang Dipertua,

Hakikatnya, walaupun peruntukan untuk pendidikan di negara kita adalah besar, hasilnya amat mengecewakan. Prestasi murid sekolah dan kedudukan universiti kita yang makin merosot membuktikan bahawa peningkatan perbelanjaan semata-mata tidak mencukupi jika masalah sistemik tidak ditangani.

Projek-projek besar yang dicadangkan bukanlah penyelesaian kepada kemelut pendidikan negara kita. Apa yang diperlukan adalah perancangan, pengurusan dan pelaksanaan yang cekap dan tepat pada sasarannya. Dalam erti kata lain, penyelesaiannya haruslah holistik dan berupaya untuk menangani punca masalah dan bukan sekadar menjadi alasan untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu.

Ambil sebagai contoh obsesi Kementerian untuk menggunakan khidmat perunding seperti McKinsey & Co yang dibayar RM20 juta untuk menyediakan PPPM, seolah-olah kita tidak mempunyai pegawai yang mampu melakukan kerja tersebut. Apakah fungsi Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) dalam Kementerian Pendidikan jika tidak untuk merangka dasar?

Selain McKinsey, Kementerian juga telah membelanjakan RM270 juta untuk melantik tiga syarikat perunding – British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group – untuk menyediakan mentor penutur jati bahasa Inggeris dari luar negara bagi membimbing dan meningkatkan kapasiti guru Bahasa Inggeris di sekolah rendah yang terpilih. Dalam program yang berlangsung sepanjang tiga tahun ini, seramai 360 mentor telah dilantik, iaitu dengan kos RM21,000 sebulan untuk setiap mentor. Apakah hasil yang dicapai daripada program ini dan adakah ia setimpal dengan perbelanjaan yang begitu besar? Adakah program ini akan dilanjutkan setelah tamat tempohnya pada tahun ini?

Pada masa yang sama, ketidakcekapan pengurusan kewangan bukan sahaja terserlah dalam pelaksanaan projek-projek yang tidak wajar, tetapi juga dalam kegagalan untuk melaksanakan program-program yang dirancang.

Sebagai contoh, dalam pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan projek perintis taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan masalah pembelajaran. Ini merupakan satu projek yang sangat penting, sekiranya kita mahu memastikan matlamat “tiada anak yang ketinggalan” itu dicapai. Malangnya, projek perintis ini sudah lenyap daripada pengetahuan awam.

Oleh itu, sudah tiba masanya Kerajaan merubah pendekatan pendidikan, khususnya dalam soal perbelanjaan. Kerajaan harus lebih bertanggungjawab dalam tadbir urus kewangan, dan menghentikan obsesi kepada projek besar dan pergantungan kepada khidmat nasihat perunding luar. Sebaliknya, Kerajaan harus menumpukan perhatian kepada perkara pokok dan menangani punca dan bukan sekadar mengubati masalah yang timbul.

Lebih daripada itu, Kerajaan juga harus menghayati bahawa peranan pendidikan itu bukanlah sekadar penjana pekerja dan masyarakat yang patuh, tetapi sebagai satu cara untuk membebaskan dan memperkasakan rakyat.

Bak kata pendidik terulung Paulo Freire dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed:

“Education either functions as an instrument which is used to facilitate integration of the younger generation into the logic of the present system and bring about conformity or it becomes the practice of freedom, the means by which men and women deal critically and creatively with reality and discover how to participate in the transformation of their world.”

Sekian, terima kasih.


[1] Falsafah Pendidikan Kebangsaan, http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php