You are currently browsing the category archive for the ‘Roketkini.com’ category.

NB: This article was originally published in Roketkini.com.

Ketika Dato’ Sri Najib Razak awal-awal menjadi Perdana Menteri, beliau menjanjikan perpaduan nasional melalui kempen 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru (MEB). Dasar ekonomi yang diuar-uarkan ini dikatakan akan mengambil pendekatan tindakan afirmatif berasaskan keperluan, yakni kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah tanpa mengira kaum.

Usaha ini menandakan pemisahan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini yang berasaskan kaum. Dengan anjakan paradigma ini, Najib mengisyaratkan bahawa pembangunan ekonomi negara pada masa depan akan bertunjangkan prinsip keterangkuman sosial, di mana setiap rakyat Malaysia akan dihitungkan, khususnya mereka yang paling memerlukan bantuan.

Malangnya, janji-janji Najib semua sudah terbatal. Konsep 1Malaysia kini menjadi tidak lebih daripada jenama bagi kedai runcit subsidi, klinik bergerak, skim perumahan mampu milik, menu makanan bajet, serta peruncit tekstil dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, MEB pula jelas dipinggirkan oleh NEB versi baru yang dinamakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB).

Dasar PEB yang baru dilancarkan ini melibatkan pelbagai inisiatif berasaskan kaum, termasuk pembentukan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, penubuhan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian, jaminan bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama akan meningkatkan penyertaan vendor Bumiputera, serta pelancaran 10 bilion unit saham baru Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sementara MEB menawarkan liberalisasi pasaran dan tindakan afirmatif berasaskan keperluan yang akan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, PEB pula seolah-olah usaha untuk mengembalikan DEB yang telah terbukti gagal membela golongan Melayu miskin, tetapi sebaliknya lebih memanfaatkan golongan kapitalis Melayu yang mempunyai hubungan akrab dengan parti pemerintah.

Hakikat ini adalah jelas apabila kita pertimbangkan perangkaan yang menunjukkan bahawa setelah empat dekad bantuan yang kononnya disasarkan kepada Bumiputera, masih terdapat 40 peratus isi rumah Bumiputera yang hidup dengan pendapatan bulanan RM1,686 secara purata. Pada masa yang sama, si kaya yang mempunyai hubungan politik mampu untuk membeli rumah banglo RM7 juta dengan begitu sahaja.

Justeru, cadangan pelancaran 10 bilion unit ASB2 adalah sangat meragukan. Siapakah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada saham ASB tambahan yang bakal disediakan? Adakah kumpulan 40 peratus isi rumah Bumiputera terendah dapat melabur dalam saham-saham yang berhasil tinggi ini sedangkan pendapatan mereka hanya cukup makan dan pakai?

Menurut laporan tahunan PNB, pelaburan purata pelabur Bumiputera adalah RM14,097 seorang pada akhir tahun 2012. Sekali pandang, angka ini tampak menunjukkan bahawa ramai orang Melayu sudah mencapai kadar simpanan yang agak selesa.

Walau bagaimanapun, apabila laporan ini diperhalusi, angka ini benar-benar mengelirukan. Setelah dicerakinkan, didapati bahawa 74 peratus atau hampir tiga perempat pelabur Amanah Saham Bumiputera sebenarnya mempunyai pelaburan purata hanya RM611 setiap seorang. Angka ini jauh berbeza dengan purata keseluruhan pelabur dan lebih mencerminkan realiti rakyat.

Dalam erti kata lain, hanya golongan pelabur elit Bumiputera yang mampu melabur dengan jumlah yang ketara, sementara majoriti pelabur Bumiputera yang lain ternyata tidak mampu menikmati tawaran saham ini. Oleh itu, bagaimanakah mungkin langkah Kerajaan untuk menyediakan lebih banyak unit ASB dapat memberi manfaat kepada Bumiputera kebanyakan?

Malah, satu kajian oleh pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid mendapati bahawa perbezaan kekayaan antara pelabur ASB adalah sangat mencolok, di mana 0.1 peratus teratas pelabur Bumiputera mempunyai portfolio terkumpul yang bernilai 1,526 kali lebih banyak berbanding gabungan 80 peratus pemegang saham terbawah. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa kumpulan elit Bumiputera ini juga yang akhirnya akan mendapat manfaat daripada tambahan 10 bilion unit ASB2, dan bukannya Melayu biasa yang sekadar mampu untuk melabur sebanyak RM611.

Maka, persoalannya – untuk siapakah ASB2 ini sebenarnya? Pastinya bukan untuk Bumiputera kebanyakan.

NB: This article was originally published in Roketkini.com.

Polemik PTPTN harus dibaca bersama dengan kualiti pendidikan tinggi negara, kerana pemahaman isu ini secara berasingan hanya akan menyebabkan kita menyalahkan para graduan dan mengutuk mereka sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur serta lari daripada tanggungjawab membayar hutang. Kita juga akan gagal mencermati bahawa para graduan sebenarnya merupakan mangsa kecurangan sistem pendidikan negara ini.

Sebagai mengiringi penggubalan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta pada tahun 1996, skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperkenalkan pada tahun seterusnya. Ekoran daripada itu, alam pengajian tinggi di Malaysia telah menampakkan percambahan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan begitu pesat. Setakat 30 November 2012, terdapat sejumlah 478 buah IPTS yang diperincikan kepada 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di negara ini.

Memang tidak dinafikan, ketersediaan pinjaman PTPTN sekaligus membuka pintu pengajian tinggi kepada ramai pelajar yang dahulunya tidak mampu dari segi kewangan. Namun pada masa yang sama, ia juga memberi ruang kepada kolej-kolej swasta untuk mengambil kesempatan ke atas kemudahan tersebut.

Akibat proses permohonan dan pemberian pinjaman PTPTN yang begitu mudah dan longgar (lulus SPM dengan 1 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan 3 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus diploma), jumlah kemasukan siswazah pun meningkat dengan mendadak.

Akan tetapi, gara-gara lambakan graduan ini, beberapa masalah telah muncul. Pertamanya, bilangan graduan yang dihasilkan adalah melebihi kehendak pasaran, suatu masalah yang pernah diakui oleh mantan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Khaled Nordin.

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 2007 yang bertajuk “Malaysia and the Knowledge Economy: Building a World-Class Higher Education System”, wujud kesenjangan di antara pembekalan dan permintaan (supply and demand) dalam pasaran kerja untuk graduan, di mana lebihan keluaran graduan berbanding pekerjaan yang sedia ada telah mengakibatkan fenomena pengangguran di negara kita.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, walaupun kadar pengangguran negara secara keseluruhannya adalah rendah (3.3 peratus setakat Mei 2013), kadar pengangguran dalam kalangan anak muda adalah tinggi, iaitu 10.3 peratus. Malah, kadar ini adalah lebih tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (2.8 peratus) dan Singapura (6.7 peratus).

Pun begitu, angka ini tidak meliputi kadar “youth underemployment”, ataupun fenomena di mana anak muda terpaksa menerima jawatan dan tangga gaji yang lebih rendah berbanding kelayakannya. Di Malaysia, kadar ini adalah 15.1 peratus, sementara peratusan pemegang ijazah yang terpaksa bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan kelulusan ijazah adalah 21 peratus. Dengan kata lain, setiap satu daripada lima graduan di negara kita tidak berjaya mendapat kerja dan gaji yang setimpal.

Pastinya, sebilangan besar daripada graduan yang terpaksa menderita dengan pengangguran merupakan produk IPTS. Ini kerana peningkatan enrolmen pelajar IPTS adalah lebih ketara berbanding IPTA. Sebagai contoh, jumlah kemasukan pelajar IPTA telah meningkat daripada 310,000 pada tahun 2005 kepada 372,000 menjelang tahun 2010. Bagi IPTS pula, jumlahnya telah meningkat daripada 337,000 kepada 466,000. Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, di mana purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya mencatat 4.64 peratus sejak tahun 2000 hingga 2013, masalah pasaran pekerjaan ini dijangka akan berterusan.

Selain pembekalan graduan yang terlebih banyak berbanding ketersediaan peluang pekerjaan, dasar pendidikan swasta negara kita juga mendorong kepada penjanaan graduan yang kurang berkualiti, khususnya daripada IPTS. Ini disebabkan bukan sahaja oleh kemasukan pelajar-pelajar yang kurang layak, tetapi juga oleh kelemahan tenaga pengajar IPTS.

Menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010, 50 peratus daripada staf akademik IPTS hanya mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan ke bawah. Nisbah pelajar IPTS kepada staf akademik berkelulusan PhD pula adalah 221:1 ataupun 221 pelajar kepada seorang PhD. Bagi nisbah fakulti berkelulusan sarjana dan ke atas kepada pelajar pula, kadarnya adalah 21:1. Secara lazimnya, nisbah yang lagi rendah adalah lebih afdal (Oxford mempunyai nisbah pelajar kepada fakulti 5:1 sementara Harvard mempunyai nisbah 7:1). Oleh itu, persoalan muncul – adakah IPTS-IPTS di negara kita mempunyai tenaga pengajar yang layak dan mencukupi untuk menjamin pendidikan berkualiti tinggi bagi semua pelajarnya?

Dalam konteks ini, cadangan kerajaan untuk menyenaraihitamkan graduan-graduan yang tidak membayar balik pinjaman PTPTN dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah kurang wajar. Walaupun cadangan tersebut tidak akan diteruskan buat masa kini, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa IPT di negara kita, khasnya IPTS, telah gagal menghasilkan graduan yang memiliki kebolehpasaran yang secukupnya.

Jelas, dasar pendidikan tinggi negara serta skim pinjaman PTPTN tampaknya lebih bertujuan untuk menguntungkan pengusaha kolej swasta dan bukan untuk memastikan pembinaan modal insan yang berdaya saing. Dalam erti kata lain, bidang pengajian tinggi sudah menjadi perniagaan komersial yang lumayan, di mana kualiti pengajaran dianggap sebagai matlamat sekunder. Yang paling tidak adil, para pengusaha IPTS tidak perlu menanggung sebarang risiko dan tanggungjawab untuk memastikan graduan mereka menepati keperluan pasaran kerja, bahkan terus mengaut keuntungan.

Justeru, adakah patut kita salahkan graduan-graduan kita yang dibebani bayaran hutang, sedangkan mereka tidak berjaya mencari pekerjaan yang selaras dengan kelulusan mereka akibat kecurangan sistem pendidikan tinggi negara kita?

NB: This article was originally published in my column on Roketkini.com.

Fenomena penyertaan orang Melayu dari pelbagai kelompok termasuk aktivis kesatuan sekerja, veteran UMNO dan graduan UiTM kepada DAP baru-baru ini mungkin boleh difahami dalam kerangka menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

Tidak menghairankan bahawa isu ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang seolah-olah teruja dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu manakala Ketua Puteri UMNO pula menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.

Saya merasa kesian ke atas pemimpin-pemimpin UMNO yang hanya mampu melihat dunia melalui lensa perkauman. Akibatnya, mereka sudah rabun dengan kebenaran di depan mata.

Pengorbanan pemimpin DAP tanpa mengira kaum

Lebih sedekad lalu Setiausaha Agung DAP yang kini merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini.  Atau pun pemimpin-pemimpin UMNO sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.

Walau bagaimanapun, perjuangan dan pengorbanan Lim Guan Eng serta para pemimpin DAP sejak lebih 45 tahun lalu membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Program kebajikan DAP dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang

Di negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mengambil macam-macam langkah untuk membantu semua lapisan masyarakat.

Program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.

Dasar ini jelas tidak bersifat perkauman. Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan UMNO yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.

Pembangunan Islam di Pulau Pinang

Tambahan pula, sebagai langkah untuk memartabatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menggandakan peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam berkali-kali ganda.

Di bawah pemerintahan UMNO-BN, peruntukan untuk hal-ehwal Islam hanya RM12 juta setahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat pula, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.

Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan Sekolah Agama Rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), para Huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut UMNO tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang). Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?

Tender terbuka untungkan Melayu berkelayakan

Dalam hal ekonomi pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70 peratus daripada semua tender Kerajaan Negeri.

Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik. Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.

Sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?

Masalah Melayu berpunca dari pemimpin UMNO

Kini, Kerajaan Pakatan Rakyat sedang giat berusaha untuk menyongsangkan kemelut yang dihadapi masyarakat Melayu, namun hakikatnya kemunduran akibat pemerintahan yang rakus dan tamak selama 50 tahun tidak boleh dibaiki dalam tempoh yang terlalu singkat.

UMNO sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu. Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP),  konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuhraya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO menuduh kononnya masyarakat Melayu di Pulau Pinang seolah-olah dianaktirikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, maka rakyat Melayu di seluruh Malaysia sudah semakin sedar tentang Kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengambil kesempatan ke atas mereka untuk kepentingan dan keuntungan diri sendiri.

Kenapa Melayu menyertai DAP?

Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun. Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan UMNO yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada UMNO. Dalam erti kata lain, kuasa UMNO adalah kemudaratan orang Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran UMNO tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.

Di antara kemungkaran dan kebenaran, pilihannya senang.

NB: This article was originally published in my column on Roketkini.com.

“Saya bekerja untuk Lim Guan Eng.”

Ayat ringkas di atas itu tidak pernah gagal mendapatkan saya sekurang-kurangnya secawan teh tarik percuma. Tiada sesiapa yang tidak ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai insan yang kini menjawat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagaimanakah perwatakan beliau? Adakah benar cerita ini atau cerita itu? Kerap kali soalan-soalan yang diajukan ternyata kurang munasabah, tetapi begitulah jadinya apabila saluran maklumat di negara kita menjadi mainan propaganda pihak yang berkuasa.

Jika berkesempatan, saya akan menerima minuman yang ditawarkan. ‘Bayarannya’ hanya sekadar meluahkan sedikit masa untuk menceritakan sedikit tentang seorang personaliti yang dikenali tetapi mungkin tidak difahami ramai.

Jadi, sebelum saya bermula, terima kasihlah atas kemurahan hati anda. Teh tarik kurang manis satu!

Amat sukar untuk saya membayangkan kedinginan dan kesepian seseorang yang terpaksa mendiami bilik yang berjeriji besi atau kesuraman yang pasti menyelubungi sesebuah jiwa dalam ringkukan, dan sememangnya itu bukan suatu pengalaman yang saya citai. Yang pastinya, jika saya dihantar ke penjara, apatah lagi tanpa melakukan apa-apa kesilapan, dan tambahan pula kerana menjunjung kebenaran, sudah tentu saya tidak akan mudah melepaskan kesumat dalam hati.

Namun manusia tersebut yang saya kenali hari ini tidak menyimpan walau segumpal perasaan benci atau dendam terhadap pihak-pihak yang telah menzaliminya.

Pernah beliau berkata kepada saya, dan sememangnya jarang perkara ini ditimbulkan, sewaktu dalam perjalanan pulang setelah selesai satu malam berceramah di kawasan pedalaman: “Saya tidak sesekalipun mengingini perkara yang sama akan menimpa kepada mereka. Jalan kebenaran mungkin dipenuhi keperitan, tetapi kejayaan pasti menunggu.” Begitulah ulasan seorang bekas banduan yang dua belas tahun lalu terpaksa bercangkung dengan tahanan-tahanan lain sambil berpakaian baju Pagoda dan seluar pendek warna putih. Walaupun jasadnya ketika itu menjadi kurus dan kendengkik, jiwanya tidak pernah patah dan kini beliau sudah berjaya menawan jawatan tertinggi di negeri Pulau Pinang.

“Lagipun, pengalaman pahit saya tidak seberapa jika dibandingkan dengan kesengsaraan Nelson Mandela yang terpaksa meringkuk hampir selama tiga dekad. Tetapi sekarang kita sudah lihat. Akhirnya, kemenangan akan berpihak kepada yang benar.”

Itulah falsafah yang dipikul Saudara Lim Guan Eng, dan itulah pengajaran pertama saya.

Setelah beberapa bulan menjadi pegawainya, sudah tidak mengejutkan lagi jika telefon berdering ketika tengah malam buta ataupun sebelum berkumandangnya azan Subuh. Malah sudah menjadi perkara biasa. Sesungguhnya sesiapa yang bekerja untuk Lim Guan Eng itu harus bersedia mengikut jadual kerjanya yang memaksimumkan setiap detik dalam setiap hari.

Tetapi inilah kehidupan pejuang politik. Masa kita milik rakyat. Kepentingan ramai selalu diutamakan daripada kepentingan peribadi. Petua ini wajib dijadikan panduan kita, yakni ‘utara benar’ dalam perjuangan politik. Dan dasar itulah yang menjadi pegangan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Baginya, jawatan yang disandang adalah satu amanah yang cukup berat untuknya. Kerana itu, segala perbelanjaan wang rakyat hendaklah dilakukan dengan penuh ikhtiar dan tanggungjawab. Antara tindakan yang pertama yang dijalankannya sebaik sahaja mengambil alih pejabat Ketua Menteri adalah untuk melaksanakan dasar tender terbuka dalam semua kerja pembekalan dan pemerolehan awam. Cara yang telus ini membawa keuntungan kepada pengusaha dan kontraktor yang tulen dan bekerja keras, dan menimbulkan kesukaran kepada syarikat-syarikat kroni yang bergantung kepada modus operandi ‘subkontrak’.

Selepas tiga tahun berlangsungnya sistem tender terbuka di Pulau Pinang, sudah jelas terbukti faedahnya apabila ramai kontraktor Melayu yang dahulunya tidak mendapat peluang kerana kurang ‘kabel’ sekarang telahpun berjaya melalui kebolehan dan daya saingan sendiri untuk membekalkan perkhidmatan dan produk mereka kepada Kerajaan Negeri. Sesungguhnya kejayaan juga akan memihak kepada yang jujur dan bekerja keras.

Kebenaran dan ketelusan sememangnya menjadi ciri-ciri khas kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Tetapi apakah rahsia disebalik penjelmaan semula Pulau Mutiara yang telah berlaku dalam masa tiga tahun yang lepas?

“Semuanya bermula dari kepala,” tegas Lim Guan Eng. “Apa-apa perubahan hanya boleh dilakukan jika dipandu dari pucuk pimpinan.”

Begitulah caranya berlaku reformasi dalaman dalam Kerajaan Negeri. Sesiapa yang pernah melawati Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun yang lepas ini pasti terkagum dengan kebersihan yang ketara, apa-apa lagi di sebuah negeri yang dahulunya diberi imbuhan ‘Darul Sampah’.

“Saya tidak menukar pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan. Pekerjanya masih sama. Tetapi  yang ditukar adalah pimpinannya, di mana saya telah memilih pegawai yang paling cekap dan berdisiplin untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.” Kedua-dua Yang DiPertua MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) serta MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) sudah menjadi punca kebanggaan Lim Guan Eng. Kebetulan juga mereka berdua merupakan wanita. “Jika kepala bersikap bersih dan tegas, anggota yang lain akan mengikut secara sendiri.”

Prinsip ini juga mewarnakan cara pimpinan beliau sebagai Ketua Menteri. Salah satu tanggungjawab yang paling penting bagi seorang pemimpin adalah untuk menunjukkan teladan yang konsisten.

Pernah sekali saya mengikuti beliau ke luar negara, di mana kita telah berjumpa dengan seorang saudagar asing. Kerana mengejar sebuah projek yang bernilai besar di Pulau Pinang, jadi bermesralah si saudagar itu dengan Ketua Menteri. Namun, apabila cubaannya untuk memujuk Ketua Menteri nyata tidak berjaya, saudagar itu pun membuka mulut menawarkan sejumlah wang ringgit yang tidak kurang menakjubkan, sebagai dorongan untuk mendapatkan projek tersebut.

Dengan air muka yang jengkel, Lim Guan Eng menjawabnya dengan ringkas: “Saya bukan seperti menteri-menteri lain dari Malaysia. Jika anda hendakkan projek itu, anda boleh menyertai proses tender terbuka. Selain daripada itu, saya tidak boleh membantu.” Sambil tersenyum malu, sambil ahli peniaga itu meminta diri.

Itulah yang dikatakan memimpin melalui teladan. Sebagai kepala Kerajaan Negeri, Lim Guan Eng tidak pincang dalam perlakuannya. Dugaan silamnya tidak diendahkan, justeru tumpuan sepenuhnya dicurahkan ke atas jalan di hadapan, iaitu jalan yang akan membawa kemajuan dan keadilan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang secara khusus dan rakyat Malaysia secara am.

Yang pasti, segala jenis dakwaan dan tuduhan tidak akan berhenti dilemparkan kepadanya. Namun begitu, iltizamnya tidak akan gentar. Seperti yang ditegaskan beliau, kebenaran itu adalah mutlak. Walau apa pun cabaran, jangan kita terpesong daripada ‘utara benar’, iaitu asas perjuangan politik kita.

Dan kini berakhirlah cerita saya, sepertimana habisnya teh tarik yang terlebih kurang manisnya. Terima kasih kerana mendengar.

Zairil Khir Johari

Menu

Twitter Updates

  • Majlis berbuka puasa anjuran SekDem di Kuala Lumpur. Puluhan alumni SekDem sempat berjumpa dan berdialog dengan... fb.me/20Fkgrwgg 2 days ago
  • Majlis berbuka puasa anjuran DAP Pulau Pinang. Sambutan baik walaupun julung kali diadakan. Insha Allah akan... fb.me/6hui8ONQ7 3 days ago
  • Majlis buka puasa bersama warga Tanjung Tokong anjuran JKKK setempat. Bantuan zakat juga diagihkan kepada golongan asnaf. [15 Jun 2017] 1 week ago

Categories

Archives

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 43 other followers