You are currently browsing the tag archive for the ‘DAP Kedah’ tag.

NB: This press statement was released on 12 October 2013 in Alor Setar. 

Saya merujuk laporan-laporan media mutakhir ini yang memetik Menteri Besar Kedah Dato’ Mukhriz Mahathir sebagai berkata bahawa kerajaan beliau tidak akan melayan sebarang permintaan daripada sekolah vernakular Cina dan sebaliknya hanya akan menumpukan bantuan dan keutamaan kepada sekolah kebangsaan sahaja.

Mukhriz telah mewajarkan kenyataannya dengan alasan bahawa beliau tidak boleh mengabaikan pengundi yang telah menyokongnya dalam Pilihan Raya Umum yang lepas. Tambahan pula, beliau berkata bahawa majoriti rakyat Kedah terdiri daripada orang Melayu.

Kenyataan sedemikian oleh seorang Menteri Besar, iaitu pemimpin tertinggi negeri, bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat dendam, tetapi seolah-olah tidak belajar dari sejarah.

Pada tahun 1969, bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan yang serupa, di mana beliau mengujar bahawa beliau tidak memerlukan sokongan kaum Cina untuk menang dalam pilihan raya. Akhirnya, beliau telah tewas dalam pertandingan untuk kerusi Kota Setar Selatan. Kini, nampaknya Mukhriz ingin mengulangi kesilapan yang sama menjelang Pilihan Raya Kecil Sungai Limau.

Sepatutnya, sebagai seorang Menteri Besar yang bertanggungjawab, beliau harus menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang politik.

Saya mengesyorkan agar Mukhriz belajar daripada contoh kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang. Bantuan kebajikan yang diberikan, termasuk kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh, adalah ikhlas dan tidak berunsur politik. Begitu juga dengan program-program bantuan tahunan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU, murid sekolah, para nelayan dan juga pemandu teksi.

Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM40,000 setahun akan diberikan kepada setiap Adun pembangkang BN bagi projek-projek infrastruktur dalam kawasan mereka. Kerajaan Negeri Selangor pula baru mengumumkan bahawa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor akan menerima elaun tambahan sebanyak RM8,620 sebulan termasuk penggunaan kereta rasmi kerajaan.

Langkah Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ini bukan sahaja menghormati demokrasi dan pilihan rakyat, tetapi juga selari dengan hasrat persepaduan nasional. Sebaliknya, tindakan Mukhriz untuk memangsakan golongan tertentu boleh disifatkan sebagai dendam politik.

Saya yakin, sekiranya Mukhriz tidak menarik balik kenyataannya dan menyambung balik peruntukan untuk sekolah-sekolah bukan kebangsaan, BN akan ditimpa nasib yang sama dalam PRK Sungai Limau seperti yang dialami bapanya dalam PRU tahun 1969.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera

NB: This press statement was released on 5 October 2013 in Alor Setar.

Setelah diberi penghormatan dan tanggungjawab oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) ekoran keputusan pada 30 September yang lalu untuk melantik saya sebagai Pengerusi Interim DAP Kedah, saya telah membentuk semula Jawatankuasa Interim Negeri Kedah dengan keanggotaan seperti berikut:

Pengerusi Sdr Zairil Khir Johari
Timbalan Pengerusi Sdr Steven Sim Chee Keong
Naib Pengerusi Sdr Syed Araniri
Naib Pengerusi Sdri Lok Saw Mee
Naib Pengerusi Sdr Karuna
Setiausaha Sdr KB Teoh
Penolong Setiausaha Sdr Soon Peng Lim
Bendahari Sdr Por Lee Tee
Setiausaha Organisasi Sdr Teh Seng Teik
Penolong Set. Organisasi Sdr Yong Peng Sin
Setiausaha Publisiti Sdr Dr Lim Sin Keat
Penolong Set. Publisiti Sdr Vincent Chee
Pengarah Pendidikan Politik Sdr Tan Kok Yew
Ahli Jawatankausa Sdr Vincent Wu
Ahli Jawatankuasa Sdr Thomas Su
Ahli Jawatankuasa Sdri Ooi Sow Ching

Jawatankuasa interim ini terdiri daripada campuran pemimpin veteran dan anak muda, serta pemimpin-pemimpin dari luar negeri Kedah termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su dan Ahli CEC Vincent Wu.

Dengan pemimpin-pemimpin yang berpengalaman serta dinamik, saya yakin pasukan ini akan lagi memperkukuhkan jentera DAP Kedah, khususnya dalam proses pengembangan parti di negeri ini.

Jawatankuasa Interim DAP Kedah dibentuk mengikut ketetapan perlembagaan parti

Terdapat sesetengah pihak yang mempersoalkan kesahihan lantikan Jawatankuasa Interim oleh CEC. Di sini saya ingin menegaskan bahawa fasal kecil (sub-clause) 11 dan 12 di bawah Fasal XIV perlembagaan parti memperuntukkan kuasa penuh kepada CEC untuk membubarkan mana-mana Jawatankuasa Negeri dan melantik Jawatankuasa Interim bagi tempoh enam bulan.

Justeru, peruntukan perlembagaan parti adalah jelas dan kedudukan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan.

Melangkah ke depan, saya berharap agar semua ahli DAP Kedah akan rapatkan barisan dan bersatu menggembleng tenaga untuk menghadapi cabaran yang terdekat, iaitu Pilihan Raya Kecil Sungai Limau pada 4 November nanti.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera

NB: This press statement was released on 26 September 2013 in Alor Setar.

Bagi pihak DAP Kedah, saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak atas pemergian Allahyarham yang cukup selesa dan rendah diri dengan panggilan mesra, Ustaz Azizan. Demikianlah janji Tuhan, tiada yang dapat menundanya mahupun mempercepatkannya barang sesaat juga.

Allahyarham Ustaz Azizan bukan sahaja tokoh pemimpin politik yang dihormati, malahan juga seorang pemimpin agama serta bekas ahli akademik yang disegani. Sesungguhnya, negeri Kedah telah kehilangan seorang pemimpin yang memiliki keperibadian unggul dalam banyak bidang – siasah, akademik, dan agama – yang amat sukar dicari ganti.

DAP Kedah juga ingin menyatakan rasa berbesar hati kerana dapat berkhidmat bersama Allahyarham Ustaz Azizan yang senantiasa tegas dalam komitmennya untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri Kedah.

Meskipun kepimpinan Allahyarham di Kedah hanya sepenggal, namun dalam tempoh itu Allahyarham telah menunjukkan tauladan pentadbiran yang telus dan amanah. Semoga usaha, jasa, pengorbanan dan kerja keras Allahyarham dirahmati Allah.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera

NB: This speech was delivered at the launch of the Pusat Komuniti DAP Derga in Alor Setar on 5 July 2013.

Pada pagi ini saya amat berbangga kerana dapat hadir untuk melancarkan Pusat Komuniti DAP bagi kawasan Derga. Rasa bangga itu bukan hanya kerana pusat ini merupakan pusat khidmat pertama yang dirasmikan oleh saya selaku Pengerusi Interim DAP Kedah, tetapi kerana ia juga melambangkan permulaan baru bagi DAP Kedah secara khas dan Pakatan Rakyat secara umumnya.

Pada masa yang sama, saya juga yakin bahawa Pusat Komuniti DAP Derga ini bakal menjadi titik tolak untuk DAP kembali mengukuhkan kedudukannya dalam politik negeri Kedah. Ini kerana kejayaan DAP dalam memenangi kerusi Derga adalah sangat bermakna dan menjadi contoh kepada akar umbi parti di seluruh negara memandangkan Derga merupakan kawasan majoriti Melayu. Hakikat ini sekaligus memecahkan propaganda sempit Barisan Nasional yang cuba menggambarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai “Tsunami Cina”.

Maka, dalam konteks yang lebih besar, saya juga percaya kejayaan DAP di kawasan Derga ini akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Pakatan Rakyat Kedah. Dalam pada itu, saya menyambut baik kehadiran barisan kepimpinan parti-parti komponen pada pagi ini, dan harap agar kerjasama dan keakraban antara ketiga-tiga parti akan lebih dieratkan lagi.

Detik paling getir

Kita kini berada dalam detik paling getir dalam sejarah politik negara ini. Buat kali pertama, rakyat Malaysia mempunyai pilihan kerajaan alternatif yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga terbukti.

Ekoran daripada itu, PRU13 telah menyaksikan persaingan yang begitu sengit sehingga gabungan Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya membina kerajaan Persekutuan. Malah, secara teknikal, Pakatan Rakyat kini adalah suara majoriti rakyat Malaysia kerana telah memenangi majoriti undi rakyat dengan 51 peratus undi popular, berbanding 47 peratus yang dimenangi BN. Situasi ini cukup menjelaskan bahawa politik Malaysia kini sedang melalui peralihan.

Oleh hal yang demikian, sudah pasti sikap dan kekuatan parti akan diuji pada tahap yang paling tinggi. Sudah tentu terdapat banyak isu antara parti komponen Pakatan Rakyat, bukan hanya di peringkat politik semasa, malah juga di peringkat ideologi dan dasar yang harus dituntaskan.

Pergulatan pemikiran (struggle of ideas), cita-cita dan gerak kerja politik ini adalah lumrah dan sihat. Hal ini kerana bangsa Malaysia sendiri juga berada pada transisi yang melibatkan isu-isu dasar seperti hubungan antara kaum, pendekatan ekonomi dan pembagunan sosial, yakni isu-isu yang tidak diberi perhatian yang cukup oleh parti pemerintah selama ini.

Malah, umum mengetahui bahawa dasar-dasar Barisan Nasional merupakan punca ketegangan kaum, pecah belah rakyat, dasar ekonomi yang memperkayakan kroni dan mengabaikan rakyat, jurang pendapatan yang makin melebar serta penindasan hak asasi manusia.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan sebagai sebuah gabungan parti yang matang serta berani kerana hanya Pakatan Rakyat yang mampu menyediakan alternatif kepada politik lapuk kerajaan Barisan Nasional. Hanya Pakatan Rakyat yang mampu melawan politik perkauman, ekonomi kroni dan ketidakadilan sosial yang berleluasa.

Kerjasama Pakatan Rakyat kunci kejayaan

Justeru, saya tidak perlu berdolak-dalik untuk mengatakan bahawa terdapat banyak lagi ruang kerjasama dan kesefahaman yang boleh dicapai dalam Pakatan Rakyat. Pada saya, Pakatan Rakyat negeri Kedah kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai hasrat ini.

Malah, di peringkat Parti DAP negeri Kedah sendiri, kami telah melakukan perubahan struktur organisasi bagi menyediakan barisan kepimpinan terbaik – melalui gabungan pemimpin muda dan pemimpin berpengalaman – untuk menjayakan misi besar Pakatan Rakyat bagi menawan kembali negeri ini.

Saya percaya pucuk pimpinan parti-parti komponen yang lain juga mempunyai pendirian yang sama, dan saya yakin masa yang akan datang ini bakal menyaksikan penggemblengan yang padu antara ketiga-tiga parti.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas kejayaan DAP Kedah menubuhkan Pusat Komuniti Derga berdasarkan konsep “kemasyarakatan”, di mana pusat itu bukan sahaja sekadar tempat aduan orang awam tetapi pusat kegiatan aktiviti-akiviti masyarakat.

Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokong Pakatan Rakyat di Alor Setar atas sokongan yang kuat dalam Pilihan Raya Umum yang lepas dan juga di masa akan datang.

Terima kasih dan selamat maju jaya.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera

NB: This press statement was released on 28 June 2013 in Alor Setar.

Hari ini, Jawatankuasa Interim Negeri DAP Kedah telah mengadakan mesyuarat julung kali sejak perlantikan saya sebagai Pengerusi Interim DAP negeri ini.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan terdahulu DAP Kedah yang telah berkhidmat dengan sedaya upaya mereka. Atas usaha mereka serta sokongan yang kuat daripada rakyat negeri Kedah, DAP telah berjaya mencapai kemenangan dalam dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, iaitu Derga dan Kota Darul Aman pada Pilihan Raya Umum yang ke-13.

Ini merupakan kemenangan 100 peratus kerana DAP Kedah hanya bertanding dalam dua kerusi. Walaupun kejayaan ini adalah cemerlang, kami berharap bahawa bilangan kerusi yang ditandingi boleh ditingkatkan memandangkan DAP sudah menjadi parti kedua terbesar di Malaysia dari segi jumlah wakil rakyat. DAP kini mempunyai 145 orang wakil rakyat, iaitu 38 orang Ahli Parlimen dan 107 orang Ahli Dewan Undangan Negeri. Hanya parti UMNO yang mempunyai jumlah wakil rakyat yang lebih.

Pada masa yang sama, DAP mempunyai sejarah yang panjang di Kedah. Malah, Bandar Alor Setar merupakan kerusi yang pernah dimenangi oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Sdr Karpal Singh. Oleh itu, adalah diharapkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, DAP Kedah dapat bertanding dalam lapan kerusi termasuk dalam kerusi Parlimen.

Maka, tugas saya sebagai wakil Jawatankuasa Tertinggi Pusat adalah untuk menubuhkan sebuah pasukan yang dinamik demi mengorak hala tuju baru untuk menghadapi cabaran-cabaran baru pasca PRU13.

DAP dan juga Pakatan Rakyat Kedah kini berkongsi matlamat, iaitu untuk berganding bahu dan bersama-sama memimpin kembali kerajaan negeri Kedah serta memacu kemenangan besar di peringkat Persekutuan. Namun hasrat itu tidak mudah dicapai, dan memerlukan komitmen serta strategi yang mampu menarik minat golongan kritikal seperti anak muda, wanita dan mereka yang terpinggir baik dari segi ekonomi mahupun sosial.

Justeru, saya melihat masa depan adalah dengan anak muda. Pun begitu, pasukan yang cemerlang haruslah seimbang dari segi pengalaman dan dinamisme. Oleh itu, saya memilih ahli-ahli jawatankuasa daripada kalangan anak muda, mereka yang berpengalaman, termasuk daripada bidang profesional. Pada masa yang sama, buat sementara ini saya juga melantik beberapa pemimpin dari luar negeri Kedah bagi membantu memantapkan lagi organisasi dan jentera DAP Kedah.

Dalam jangka masa terdekat, tumpuan kami adalah untuk membina keahlian serta menambah jumlah cawangan bagi memperluaskan pengaruh parti di kawasan-kawasan di luar Alor Setar seperti Gurun dan Sungai Petani.

Saya percaya sekiranya DAP Kedah berjaya menggembleng usaha dan menggerakkan jentera parti dengan mantap, maka Pakatan Rakyat Kedah juga akan diperkukuhkan. Oleh itu, saya menyeru agar semua ahli-ahli DAP Kedah serta para penyokong DAP dan Pakatan Rakyat di negeri ini dapat sama-sama bermuafakat untuk membina kembali kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah.

Zairil Khir Johari
Pengerusi Interim DAP Kedah
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan
Ahli Parlimen Bukit Bendera

Senarai Jawatankuasa Interim Negeri DAP Kedah
Pengerusi Sdr Zairil Khir Johari
Tim. Pengerusi Sdr Steven Sim Chee Keong
Naib Pengerusi Sdr Syed Araniri
Naib Pengerusi Sdri Lok Saw Mee
Naib Pengerusi Sdr Karuna
Setiausaha Sdr KB Teoh
Pen. Setiausaha Sdr Soon Peng Lim
Bendahari Sdr Por Lee Tee
Set. Organisasi Sdr Teh Seng Teik
Pen. Set. Organisasi Sdr Yong Peng Sin
Set. Publisiti Sdr Dr Lim Sin Keat
Pen. Set. Publisiti Sdr Vincent Chee
Pengarah Pendidikan Politik Sdr Tan Kok Yew
Ahli Jawatankuasa Sdr Vincent Wu
Ahli Jawatankuasa Sdr Thomas Su
Ahli Jawatankuasa Sdri Ooi Sow Ching

Zairil Khir Johari

Menu

Twitter Updates

  • Sekitar ceramah 'Jelajah Semarak' di Bertam, Kepala Batas. Ceramah anjuran PPBM ini telah menyaksikan kehadiran... fb.me/viuoIQfq 1 day ago
  • Made a donation to support refugee students at my alma mater and received this nice handwritten postcard in... fb.me/Et2ucLpI 4 days ago
  • Sidang akhbar untuk mengumumkan kesinambungan siri ceramah Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi yang bakal... fb.me/86WruxJxg 4 days ago

Categories

Archives

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 43 other followers