You are currently browsing the tag archive for the ‘Fitnah’ tag.

NB: This press statement was released on 26.02.2013.

Saya berasa amat kecewa dan kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak baru-baru ini. Mengikut laporan The Star, beliau telah dipetik sebagai berkata bahawa, “Undi untuk PKR akan merosakkan aqidah sementara undi untuk PAS akan memecah belahkan umat Islam.” (A vote for PKR will destroy the aqidah while a vote for PAS will only result in disunity among Muslims).

Kemudian, beliau juga menambah, “untuk DAP pula, undi untuk mereka akan mengakibatkan penindasan Islam. (As for DAP, a vote for them will see Islam being oppressed.)

Beliau telah dilaporkan membuat kenyataan tersebut di Kuala Terengganu semasa pelancaran program Jelajah Janji Ditepati peringkat Terengganu.

Ke manakah perginya sifat Wasatiyyah atau kesederhanaan yang diuar-uarkan oleh Dato’ Sri Najib sendiri? Jelas slogan-slogan yang dilaungkan seperti Wasatiyyah dan 1Malaysia hanyalah slogan kosong dan tidak dituruti oleh Dato’ Sri Najib sendiri, apabila beliau sanggup membuat dakwaan yang begitu jahat dan tidak berasas tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Hakikatnya, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali dipersoalkan oleh DAP. Malah, ia telah disemadikan dalam perlembagaan parti dan juga Deklarasi Shah Alam yang termeterai dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 8 Januari 2012.

Pada masa yang sama, pengalaman kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sepanjang lima tahun yang lepas telah membuktikan bahawa agama Islam bukan sahaja tidak ditindas, malah lebih dimartabatkan.

Peruntukan hal ehwal agama Islam bukan sahaja ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding kerajaan dahulu, tanah bernilai hampir RM80 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan ibu pejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat untuk menggantikan bangunan lama dua tingkat. Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengusahakan industri halal, melakukan pengambilan tanah untuk pembesaran perkuburan Islam, meningkatkan elaun bulanan tok siak dan bilal sebanyak 80 peratus, mengiktiraf para huffaz dan untuk kali pertama memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat.

Tambahan pula, Mahkamah Tinggi telah mengesahkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bukan seorang yang anti-Islam atau anti-Melayu sebagaimana yang difitnah oleh Utusan Malaysia. Akhbar tersebut telah didapati bersalah kerana memfitnah Guan Eng dan telah diarahkan untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi.

Adalah jelas bahawa dakwaan Dato’ Sri Najib itu berniat jahat dan bertujuan untuk menghasut sentimen perkauman dan agama di kalangan masyarakat Islam terhadap Pakatan Rakyat dan khususnya DAP. Bagi mengelak sebarang kekeliruan dan persengketaan, saya bagi pihak DAP telah pun membuat laporan polis terhadap Dato’ Sri Najib atas dakwaan fitnah yang berbahaya tersebut.

Zairil Khir Johari, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Advertisements

NB: This press statement was released on 20.2.2013.

Pemimpin-pemimpin UMNO seakan-akan tiada modal lain selain terus memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya dengan dakwaan-dakwaan palsu bahawa kononnya kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang makin tergugat dan terpinggir.

Dalam laporan Berita Harian semalam yang bertajuk “Melayu akan lenyap jika terus leka”, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohamad Hasan telah dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah “meluluskan pembinaan Universiti Nanyang dari China di Kampung Genting, Balik Pulau” yang “dilihat sebagai usaha senyap untuk mengusir orang Melayu dari kawasan itu.”

Dato’ Seri Mohamad turut menambah, “… sekarang tanah diambil untuk membina universiti bukan dari negara ini. Lama-kelamaan orang Melayu di Pulau Pinang akan mencari kawasan penempatan lain di luar Pulau Pinang dan akhirnya tiada lagi Melayu di Pulau Pinang.”

Adalah jelas di sini bahawa kenyataan Dato’ Seri Mohamad Hasan bertujuan semata-mata untuk menghasut sentimen perkauman serta menimbulkan rasa takut dan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah meluluskan apa-apa projek pembangunan yang berkaitan dengan Universiti Nanyang. Oleh itu, dakwaan Dato’ Seri Mohamad Hasan yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian adalah fitnah jahat yang tidak berasas sama sekali. Justeru, saya telah membuat laporan polis terhadap Dato’ Seri Mohamad Hasan atas dakwaan palsunya.

Sebenarnya, amanah orang Melayu di Pulau Pinang telah diseleweng bukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat tetapi oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri, seperti dalam kes di Kampung Terang, Balik Pulau, di mana dua pemimpin kanan UMNO negeri iaitu Dato’ Musa Sheikh Fadzir dan Dato’ Omar Faudzar telah membeli 10 ekar tanah yang dimiliki 31 orang pemilik Melayu.

Tidak sampai empat bulan kemudian, tanah tersebut yang dibeli dengan jumlah harga RM8.6 juta telah dijual kepada sebuah pemaju swasta pada harga RM13.5 juta. Dengan kata lain, Dato’ Musa dan Dato’ Omar telah berjaya mengaut keuntungan “atas angin” yang berjumlah hampir RM5 juta dengan mengambil kesempatan ke atas pemilik-pemilik Melayu tersebut. Jadi, siapakah sebenarnya yang menggadai tanah Melayu demi keuntungan peribadi?

Sebaliknya, kerajaan Pulau Pinang senantiasa peka terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam menangani masalah harga rumah yang tinggi. Oleh itu, kerajaan negeri telah bertekad untuk membangunkan 19,000 unit rumah mampu milik dalam masa yang terdekat. Baru-baru ini, kerajaan negeri telah membuka pendaftaran bagi 1,320 unit rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah, George Town dan 520 unit di Bandar Cassia, Batu Kawan. Kebanyakan daripada rumah-rumah yang ditawarkan itu adalah rumah kos sederhana-rendah yang berharga RM72,500. Projek-projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Pulau Pinang dapat memperolehi rumah berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Oleh itu, sebarang dakwaan yang menuduh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sebagai meminggirkan mana-mana masyarakat adalah tidak benar sama sekali.

Zairil Khir Johari, Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang

This press statement was released on 9.8.2012.

Walaupun sudah dua kali didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyiarkan laporan-laporan yang berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, akhbar Utusan Malaysia tampaknya masih tidak serik.

Dengan tajuk sensasi, “Haram sokong DAP” pada muka hadapan serta laporan susulan di mukasurat dalaman, Utusan Malaysia telah menyiarkan beberapa tuduhan liar seperti yang dipetik di bawah:

Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Abdullah Sa’amah berkata… agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak mebawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.

“Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata…”

Dipetik daripada “Haram, berdosa undi DAP”, mukasurat 5, Utusan Malaysia 8 Ogos 2012.

Adalah jelas di sini bahawa laporan tersebut bermotif politik dan bertujuan untuk menabur fitnah dan implikasi bahawa:

  1. DAP merupakan parti yang haram.
  2. DAP tidak menerima Perlembagaan Persekutuan.
  3. DAP merupakan parti kafir harbi.

Umum mengetahui bahawa DAP merupakan sebuah parti pelbagai bangsa yang sah atau “halal” dari segi undang-undang. Perjuangan DAP pula berteraskan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, kebenaran, kesaksamaan dan demokrasi, sepertimana yang diperjuangkan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat yakni PAS dan Keadilan.

Selama 46 tahun sejarahnya, tidak sesekali pun DAP diharamkan atau dibatalkan pendaftarannya. Tambahan juga, sekian lama ini DAP telah berjuang di bawah kerangka kenegaraan Malaysia sebagai sebuah demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Prinsip perjuangan DAP bukan sahaja terpahat dalam perlembagaan parti, tetapi juga diulangi dalam Deklarasi Shah Alam, iaitu suatu ketetapan yang telah dipersetujui dalam persidangan kebangsaan parti awal tahun ini. Antara lainnya, wakil-wakil kebangsaan DAP telah menegaskan komitmen untuk “mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.”

Oleh itu, dakwaan bahawa DAP merupakan sebuah parti haram yang menolak Perlembagaan Persekutuan itu jelas merupakan fitnah dan tohmah semata-mata.

Laporan Utusan Malaysia tersebut juga membawa implikasi bahawa DAP adalah parti kafir harbi, hatta menjadi musuh yang ingin memerangi Islam. Ini merupakan satu tuduhan yang sangat berbahaya dan jelas dilakukan dengan niat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Apakah asas untuk tuduhan sedemikian memandangkan DAP tidak pernah memusuhi mana-mana agama? Malah, DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan. Justeru, tuduhan sedemikian tidak mempunyai asas langsung serta berunsur hasutan.

Untuk mengelak daripada sebarang kekeliruan dan ancaman yang mungkin timbul akibat tuduhan-tuduhan palsu yang tidak bertanggungjawab oleh Utusan Malaysia, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah, Jalan Patani, Pulau Pinang pagi tadi.

Walaupun kecewa dengan tindakan lidah rasmi UMNO, khususnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya pasti bahawa rakyat Malaysia tidak senang termakan dengan umpan hasutan yang cuba dimainkan oleh Utusan Malaysia. Lagipun, suratkhabar milik UMNO ini sudah pun beberapa kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.

Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP

NB: This press statement was released on 2.2.2012.

Agenda sebenar Dato’ Dr Hasan Ali sudah jelas terbongkar dengan kenyataan terbarunya yang dangkal, bebal dan berasaskan fitnah semata-mata.

Semasa berceramah di Bangi tempoh hari, Hasan Ali telah dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik. Di samping itu, Hasan Ali juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

Motif politiknya sebagai orang suruhan UMNO sudah terbongkar. Saya berasa kesian kerana Hasan Ali terpaksa menjual harga dirinya dengan menipu rakyat untuk mendapatkan publisiti murahan.

Katanya memperjuangkan Islam, tetapi yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga merupakan sindiran yang menderhaka dan berunsur hasutan yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.

Namun begitu, saya percaya taktik fitnah taraf UMNO ini tidak akan dipercayai umum.DAP adalah sebuah parti yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengambil pendirian yang mencabar teras-terasnya.

Sebagai bukti pendirian DAP dalam mempertahankan kerangka kenegaraan yang sedia ada, termasuk sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, saya memetik tiga perkara yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang baru sahaja dibentangkan, dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para pewakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2012 bulan lepas:

  1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
  2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel  3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Petikan di atas jelas membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung dan mempertahankan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.

Dan jika benar DAP mempunyai hasrat untuk merendahkan status Islam, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang meningkatkan berkali-kali ganda peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam? Kenapakah di Pulau Pinang jauh lebih banyak bantuan diberi berbanding dengan Kerajaan BN untuk pembesaran tapak perkuburan, pembangunan Sekolah Agama Rakyat dan program-program sambutan kebesaran Islam?

Di samping itu, baru-baru ini Utusan Malaysia telah didapati bersalah dan diarahkan membayar RM200,000 kerana memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan pimpinannya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Keputusan mahkamah ini adalah bukti yang paling nyata bahawa DAP tidak pernah mengambil pendekatan yang mencabar teras-teras kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.

Dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui. Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai.

Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP

NB: This press statement was released on 31.10.2011.

Berikutan kengganan pihak Umno-Online, iaitu laman web rasmi Umno, untuk menghentikan, menarik balik dan meminta maaf atas laporan-laporan palsu dan berunsur fitnah yang terus dimainkan terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan keluarganya, saya selaku Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang telah membuat laporan polis agar tindakan akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Sehingga hari ini, sudah terdapat 9 laporan yang membawa tuduhan liar bahawa kononnya anak kepada Ketua Menteri terbabit dalam kejadian mencabul seorang pelajar perempuan. Di samping itu, laporan-laporan tersebut juga mendakwa bahawa Ketua Menteri telah membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar perempuan tersebut sebagai sogokan untuk berdiam.

Laporan-laporan tersebut disenaraikan dalam jadual di bawah:

a) Dakwaan Cabul: Tindakan Guan Eng Berdolak Dalih Timbulkan Banyak Persoalan 18 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47540
b) Isu Cabul: Guan Eng Mesti Jelaskan Perkara Sebenar Atau Ambil Tindakan 18 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47552
c) Guan Eng Jangan Perbodohkan Pengundi Dengan Cara Putar Alam 19 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47687
d) Isu Cabul: Sejak Bila Pembangkang Pandai Bercakap Soal Moral?? 19 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47673
e) Dari Rambut Panjang Ke Gejala Dadah, Guan Eng Makin Berputar Belit 20 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47774
f) Kalau Fitnah Guan Eng Patut Saman Bukan Beri Kenyataan Berbelit-belit 21 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=47821
g) Isu Cabul: Guan Eng Patut Saman Bukan Terus Politikkan Anak Untuk Cari Simpati 25 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=48133
h) Rasuah RM200 Ribu : Empat Laporan Polis Dibuat Terhadap Lim Guan Eng 25 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=48128
i) Isu Cabu : Guan Eng Umpama Penembak Buta 28 Okt 2011 http://umno-online.com/?p=48318

Jadual 1: Senarai laporan-laporan di Umno-Online

Tambahan pula, laporan-laporan “Guan Eng Jangan Perbodohkan Pengundi Dengan Cara Putar Alam” dan “Isu Cabul: Sejak Bila Pembangkang Pandai Bercakap Soal Moral??” pada 19 Oktober 2011, “Dari Rambut Panjang Ke Gejala Dadah, Guan Eng Makin Berputar Belit” pada 20 Oktober 2011 dan “Kalau Fitnah Guan Eng Patut Saman Bukan Beri Kenyataan Berbelit-belit” pada 21 Oktober  telah memetik daripada sebuah laporan palsu yang kononnya telah disiarkan oleh suratkhabar Guang Ming Daily. Guang Ming Daily telah pun menafikan kewujudan laporan tersebut dalam akhbarnya pada 21 Oktober 2011 (halaman A2).

Tuduhan-tuduhan tersebut merupakan fitnah yang keji dan langsung tidak berasas. Yang paling teruk sekali, laporan-laporan tersebut terus disiarkan dan dimainkan dengan sembereno walaupun bukti sudah pun dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk membidas tuduhan-tuduhan yang liar itu.

Sebagai contoh, pada 21 Oktober 2011, “pelajar perempuan” yang terbabit, Anya Corke, telah mengeluarkan kenyataan keras untuk menafikan penglibatannya. Malah beliau menegaskan tidak pernah bertemu dengan Ketua Menteri atau anaknya.

Kenyataan Anya yang merupakan seorang pemain catur antarabangsa dari Hong Kong telah disusuli dengan penafian daripada Pengarah Pelajaran Pulau Pinang En. Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada 22 Oktober 2011. Beliau pun telah mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti untuk mengaitkan anak Ketua Menteri kepada apa-apa kejadian sedemikian.

Kenyataan-kenyataan Anya dan Encik Ahmad Tarmizi pula adalah tambahan kepada kenyataan En. Goh Boon Poh, pengetua SMJK Heng Ee, iaitu sekolah lama anak Ketua Menteri, yang juga telah menafikan kejadian itu.

Walaupun macam-macam bukti telah ditampilkan, Umno-Online masih lagi meneruskan serangan mereka tanpa melaporkan perkara yang sebenar, seperti yang boleh dilihat dalam laporan-laporan “Isu Cabul: Guan Eng Patut Saman Bukan Terus Politikkan Anak Untuk Cari Simpati” dan “Rasuah RM200 Ribu : Empat Laporan Polis Dibuat Terhadap Lim Guan Eng” yang bertarikh 25 Oktober 2011.

Berikutan laporan-laporan ini, Ketua Menteri telah mengadakan sidang media pada 26 Oktober 2011 disusuli dengan kenyataan akhbar pada 27 Oktober 2011 untuk menuntut supaya Umno-Online menarik balik dan meminta maaf atas laporan-laporan palsu dan berunsur fitnah tersebut.

Namun begitu, laman web Umno-Online bukan sahaja tidak menarik balik atau meminta maaf, malah masih lagi menyiarkan laporan-laporan yang sudah diketahui palsu dan berunsur fitnah. Ini boleh dilihat dalam laporan seterusnya pada 28 Oktober yang bertajuk “Isu Cabul : Guan Eng Umpama Penembak Buta”.

Saya percaya bahawa penerbitan dan penyiaran kesemua 9 laporan-laporan palsu dan fitnah tersebut merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah, antara lainnya, Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan berharap agar pihak polis akan mengambil tindakan siasatan yang segera serta tindakan susulan yang sewajarnya ke atas laman web Umno-Online supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan dan kerosakan nama bagi Ketua Menteri dan keluarganya.

Zairil Khir Johari, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

Zairil Khir Johari

Menu

Twitter Updates

Categories

Archives

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 43 other followers