You are currently browsing the tag archive for the ‘Mukhriz Mahathir’ tag.

NB: This press statement was released on 12 October 2013 in Alor Setar. 

Saya merujuk laporan-laporan media mutakhir ini yang memetik Menteri Besar Kedah Dato’ Mukhriz Mahathir sebagai berkata bahawa kerajaan beliau tidak akan melayan sebarang permintaan daripada sekolah vernakular Cina dan sebaliknya hanya akan menumpukan bantuan dan keutamaan kepada sekolah kebangsaan sahaja.

Mukhriz telah mewajarkan kenyataannya dengan alasan bahawa beliau tidak boleh mengabaikan pengundi yang telah menyokongnya dalam Pilihan Raya Umum yang lepas. Tambahan pula, beliau berkata bahawa majoriti rakyat Kedah terdiri daripada orang Melayu.

Kenyataan sedemikian oleh seorang Menteri Besar, iaitu pemimpin tertinggi negeri, bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat dendam, tetapi seolah-olah tidak belajar dari sejarah.

Pada tahun 1969, bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan yang serupa, di mana beliau mengujar bahawa beliau tidak memerlukan sokongan kaum Cina untuk menang dalam pilihan raya. Akhirnya, beliau telah tewas dalam pertandingan untuk kerusi Kota Setar Selatan. Kini, nampaknya Mukhriz ingin mengulangi kesilapan yang sama menjelang Pilihan Raya Kecil Sungai Limau.

Sepatutnya, sebagai seorang Menteri Besar yang bertanggungjawab, beliau harus menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang politik.

Saya mengesyorkan agar Mukhriz belajar daripada contoh kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang. Bantuan kebajikan yang diberikan, termasuk kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh, adalah ikhlas dan tidak berunsur politik. Begitu juga dengan program-program bantuan tahunan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU, murid sekolah, para nelayan dan juga pemandu teksi.

Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM40,000 setahun akan diberikan kepada setiap Adun pembangkang BN bagi projek-projek infrastruktur dalam kawasan mereka. Kerajaan Negeri Selangor pula baru mengumumkan bahawa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor akan menerima elaun tambahan sebanyak RM8,620 sebulan termasuk penggunaan kereta rasmi kerajaan.

Langkah Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ini bukan sahaja menghormati demokrasi dan pilihan rakyat, tetapi juga selari dengan hasrat persepaduan nasional. Sebaliknya, tindakan Mukhriz untuk memangsakan golongan tertentu boleh disifatkan sebagai dendam politik.

Saya yakin, sekiranya Mukhriz tidak menarik balik kenyataannya dan menyambung balik peruntukan untuk sekolah-sekolah bukan kebangsaan, BN akan ditimpa nasib yang sama dalam PRK Sungai Limau seperti yang dialami bapanya dalam PRU tahun 1969.

Zairil Khir Johari, Pengerusi Interim DAP Kedah merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera

Zairil Khir Johari

Menu

Categories

Archives

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 43 other subscribers